Khamis, 21 Januari 2010

Hanya pasir silika dieksport - Kastam

UTUSAN ONLINE


JOHOR BAHRU - Kesemua pasir yang diangkut dari Johor ke Singapura adalah pasir silika seperti yang dibenarkan oleh undang-undang untuk dieksport.

Pengarah Kastam Johor, Datuk Md. Subre Ishak berkata, kenyataan yang menyatakan sebanyak 500 atau 700 buah lori mengangkut pasir itu setiap hari ke Singapura adalah tidak tepat.

"Jumlah itu tidak benar dan ia perlu diperbetulkan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan sama ada pasir dari Johor yang dihantar ke Singapura setiap hari merupakan pasir biasa atau pasir silika.

Dr. Mahathir berkata, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor menyatakan 500 buah lori dengan muatan pasir memasuki republik itu setiap hari namun rakan bekas Perdana Menteri itu memberitahu, jumlah sebenar adalah 700 buah lori.

Menurut Dr. Mahathir, Malaysia sepatutnya berhenti daripada menjual berlori-lori tanah itu kepada Singapura yang mahu menggunakan pasir silika bagi membuat mikrocip.

Dengan nada sinis, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak tahu sebanyak mana pasir yang digunakan untuk membuat mikrocip yang kecil dan sudah tentu Singapura menghasilkannya dengan banyak kerana memerlukan 700 lori pasir setiap hari.

Md. Subre berkata, jumlah sebenar lori yang membawa pasir silika ke negara jiran itu jauh lebih kecil daripada yang dinyatakan, malah tidak mencecah sehingga ratusan lori.

Beliau yang dalam perjalanan ke Putrajaya untuk memberikan butiran terperinci mengenai isu itu berkata, statistik dan fakta mengenai jumlah sebenar lori pasir yang dieksport ke Singapura itu tidak menunjukkan sebarang pelanggaran undang-undang.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah sebenar lori pasir tersebut pada waktu ini kerana ia akan dimaklumkan kepada Ibu Pejabat Kastam di Putrajaya.

Md. Subre berkata, statistik dan fakta yang tepat itu bagi memudah serta mengelakkan kekeliruan semua pihak.

"Jabatan Kastam amat tegas mengenai perkara ini dan tidak pernah membenarkan apa-apa jenis pasir pun dieksport melainkan pasir silika," katanya.

Beliau menegaskan, sejak dahulu pihaknya sentiasa membuat pemeriksaan rapi mengenai perkara itu.

"Kita sudah buat kajian mengenai perkara ini termasuk jenis-jenis pasir... pasir sungai ke, pasir apa pun tak dibenarkan untuk eksport kecuali pasir silika," katanya.

Md. Subre berkata, pasir yang dieksport melalui tambak adalah di bawah bidang kuasa pihaknya, manakala Jabatan Tanah dan Galian pula meluluskan permit mengeksport bahan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pasir yang diangkut melalui jalan laut menggunakan tongkang dan kapal adalah di luar bidang kuasa pihaknya kerana ia di bawah tanggungjawab Pejabat Tanah dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Tiada ulasan: