Selasa, 19 Januari 2010

Dakwa disamun untuk lengah majlis kahwin

BERITA HARIAN ONLINE


KULAIJAYA: Seorang juruteknik ditahan polis selepas membuat laporan palsu mendakwa dia disamun, kelmarin, semata-mata bagi melengahkan majlis perkahwinannya yang dijadualkan bulan depan.

Lelaki berusia 27 tahun itu yang bekerja di sebuah kilang di Taman Teknologi Senai di sini, dipercayai bertindak demikian selepas bakal bapa mentuanya mahu mempercepatkan majlis perkahwinan dengan anaknya kepada bulan depan, berbanding jadual asal pada bulan Julai.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata lelaki itu membuat laporan polis mendakwa disamun dua lelaki yang memakai topi keledar selepas mengeluarkan wang di mesin juruwang automatik (ATM) di Kulai.

"Dalam laporannya, dia mendakwa mengeluarkan wang RM1,500 sebanyak empat kali, menjadikan jumlah keseluruhan RM6,000, kira-kira jam 7 petang semalam (kelmarin).

"Pengadu mendakwa selepas masuk ke dalam kereta dan belum sempat menghidupkan enjin kenderaannya, beliau didatangi dua lelaki berkulit gelap yang memakai topi keledar.

"Seorang daripada lelaki dikatakan mengacukan pisau ke lehernya sebelum merampas wang tunai RM6,000, kad ATM dan resit sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam dengan plat nombor pendaftaran bahagian belakang kenderaan dipatahkan," katanya.

Beliau berkata, bertindak atas laporan itu, polis merakam percakapan pengadu sebelum mendapati lelaki terbabit membuat laporan palsu.

Katanya, siasatan mendapati pengadu sepatutnya melangsungkan perkahwinan Julai ini, namun bakal bapa mentuanya ingin mempercepatkan majlis itu dan beliau dipercayai tidak mempunyai wang bagi melangsungkan majlis perkahwinannya.

"Pengadu membuat laporan menyatakan wangnya disamun supaya majlis itu dapat ditunda, sedangkan pemeriksaan di rumahnya mendapati wangnya disimpan di rumahnya di Senai Utama di sini," katanya.

Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 177 Kanun Keseksaan dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Sabit kesalahan mengikut seksyen itu, boleh dipenjara enam bulan atau denda RM2,000.

Tiada ulasan: