Sabtu, 2 Januari 2010

Cadang guna temu ramah ganti soal siasat

UTUSAN ONLINE


PULAU PINANG - Pakar kriminologi, Akhbar Satar menyarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi menggunakan istilah 'soal siasat' dalam proses mengumpul fakta dan bukti daripada saksi atau suspek.

Menurut beliau, ia bagi mengelak salah tanggapan bahawa badan itu melakukan penderaan fizikal dan mental terhadap pihak yang disoal siasat.

Sebaliknya, jelas beliau, mereka perlu memperluaskan penggunaan istilah 'temu ramah' bagi mengekalkan imej serta profesionalisme SPRM.

Malah, tegas beliau, dalam peraturan SPRM sendiri, istilah soal siasat sebenarnya tidak wujud.

"Teknik soal siasat lebih menjurus kepada kekerasan dan paksaan yang juga dipanggil peperangan psikologi.

"Bagi kes rasuah yang kebanyakannya melibatkan golongan elit, lebih sesuai digunakan istilah temu ramah di mana ia dijalankan dalam suasana selesa dan lebih berbentuk psikologi supaya suspek atau saksi berupaya bercakap benar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini Mahkamah Rayuan mengembalikan hak untuk menyoal saksi tanpa had masa kepada SPRM apabila membenarkan badan tersebut menjalankan siasatan melepasi waktu pejabat.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menetapkan SPRM hanya boleh melakukan soal siasat dalam waktu pejabat iaitu antara pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Bagaimanapun, keputusan berkenaan 'mengecewakan' Majlis Peguam dan pertubuhan itu meminta kerajaan membenarkan peguam menemani saksi yang dipanggil memberi keterangan oleh pegawai SPRM, sama seperti diamalkan oleh negara-negara maju.

Majlis Peguam percaya langkah itu secara tidak langsung dapat mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini seperti penderaan fizikal dan mental sekali gus mampu menjaga hak saksi tersebut.

Akhbar yang juga bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Negeri Sembilan menambah, semua pegawai penyiasat SPRM dihantar menjalani latihan khas termasuk di luar negara.

Katanya, mereka diajar pelbagai kemahiran psikologi termasuk penggunaan alat pengesan penipuan, iaitu poligraf.

"Dalam kes rasuah, kebanyakan saksi dan suspek merupakan golongan cerdik pandai.

"Justeru, kaedah paksaan atau pukul tidak sesuai dan pegawai SPRM juga bukan bodoh, daripada gaya bahasa tubuh badan saja mereka sudah tahu ada penipuan atau tidak," ujarnya.

Tiada ulasan: