Khamis, 7 Januari 2010

Bukan Warganegara, Harga Petrol RM2.10

BERNAMA


Dua harga petrol berbeza untuk warganegara dan bukan warganegara akan diperkenalkan bermula 1 Mei 2010, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Khamis.

Beliau berkata bagi warganegara, pelaksanaan harga petrol pula antara lain akan ditentukan berdasarkan kapasiti enjin kenderaan, yang bermakna bukan semua warganegara akan menikmati subsidi yang disediakan.

“Bukan semua warganegara akan mendapat subsidi ini. Subsidi ini sepatutnya lebih kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya selepas merasmikan identiti korporat baharu bahagian minuman ringan Fraser & Neave Holdings Bhd.

Golongan yang mendapat subsidi, katanya, akan membeli petrol pada harga yang ditetapkan sekarang, manakala mereka yang tidak mendapat subsidi, akan membayar harga sebenar petrol.

“Bagi RON 95, kerajaan kini memberi subsidi sebanyak 30 sen bagi setiap liter. Harga sekarang ialah RM1.80 berbanding harga sebenar iaitu RM2.10.

“Jadi, mereka yang tidak layak mendapat subsidi dan juga bukan warganegera, akan membayar RM2.10 atau lebih,” katanya.

Ismail berkata kerajaan juga mungkin akan mengenakan cukai yang akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan.

Pengumuman lanjut mengenai mekanisme baru itu akan dibuat pada 1 Mei.

Selain mengekalkan subsidi minyak, kerajaan juga masih mengekalkan subsidi gas, gandum dan juga gula, katanya.

Menurut Ismail, walaupun harga gula dinaikkan sebanyak 20 sen, namun kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak 80 sen.

“Tahun lepas kerajaan memberi subsidi sebanyak 60 sen sekilogram, namun disebabkan kenaikan harga gula dunia yang mendadak sejak Ogos tahun lepas, kerajaan terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM1, sebab itu kita naikkan harga,” katanya.

Dengan subsidi 80 sen yang diberikan itu, katanya, kerajaan akan menanggung subsidi sebanyak RM1.008 bilion tahun ini berbanding RM720 juta tahun lepas.

Tiada ulasan: