Khamis, 7 Mei 2009

Speaker: Tiada pemerhati tambahan dibenarkan

NALAYSIA KINI


Selain senarai kehadiran rasmi yang dibenarkan, Speaker DUN Perak tidak mengizinkan pemerhati atau penyokong dalam "senarai tambahan" mengikuti persidangan tersebut.

V Sivakumar berkata, menurut senarai jemputan yang dikemukan kepadanya, hanya 207 orang dibenarkan mengikuti sidang hari pertama yang bermula esok.

Bercakap dalam sidang media di pejabatnya di Ipoh, beliau mempersoalkan 30 tetamu tambahan yang tiba-tiba dibenarkan hadir sebagai "tetamu menteri besar Perak" Datuk Zambry Abd Kadir dan "tetamu khas".

Tambahnya, beliau sendiri tidak mengetahui siapa tetamu yang dimaksudkan itu walaupun sudah meminta keizinan Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim melihat senarai itu.

Bagaimanapun, tambahnya, beliau dimaklumkan pula bahawa senarai tambahan itu "telah dibatalkan".

Persidangan DUN Perak kali ini sangat genting untuk BN dan Pakatan Rakyat susulan krisis perebutan kuasa sejak Februari lalu.

Kedua-dua pihak mengakui menteri besar yang sah - Zambry (BN) dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Pakatan) - dan tuntutan ini masih belum diputuskan di mahkamah.

Keadaan tidak menentukan dipercayai boleh menimbulkan suasana tegang dan penuh emosi di dalam dan luar bangunan DUN tersebut.

Tinggal tidak sampai 24 jam sebelum persidangan penting DUN itu, Sivakumar mempersoalkan permohonan lapan ahli parlimen di negeri itu yang tidak diluluskan untuk hadir.

"Saya meminta pas (kebenaran) dibuat kepada mereka, tetapi pas mereka ditolak. Saya tidak berpuas hati (larangan itu), mereka wakil rakyat juga," katanya.

Sementara itu, perjalanan sidang DUN eosk masih kekal misteri apabila beliau enggan mengulas kemungkinan yang bakal terjadi esok selepas perasmian oleh Sultan Perak.

"Tengoklah apa yang akan berlaku esok," katanya apabila ditanya perkara itu.

Tambahnya, pelbagai pihak seperti media dan laman blog membuat spekulasi, tetapi "apa yang berada dalam kotak fikiran Speaker tidak diketahui oleh sesiapa."

Mengulas mengenai usul yang bakal dibentangkan, Sivakumar berkata, dua usul dikemukakan iaitu melucutkan jawatannya sebagai Speaker dan melantik speaker baru.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, usul itu "bukan agenda yang ditentukannya".

Beliau juga berkata, terdapat tiga usul baru dikemukakan, iaitu menukar anggota jawatankuasa kira-kira, jawatankuasa perintah tetap dan jawatankuasa hak dan kebebasan DUN.

Ditanya sama ada beliau akan menolak usul-usul itu, Sivakumar masih kekal berahsia dengan berkata:

"Tengok esoklah. Kalau saya beritahu, apa yang ada (lagi) esok?"

Sehingga sidang media tamat kira-kira jam 5.15 petang tadi, Sivakumar masih menaruh harapan supaya sidang DUN esok ditangguhkan walaupun tidak mendapat sebarang maklum balas daripada istana berhubung permohonannya, awal minggu ini.

Tiada ulasan: