Jumaat, 15 Mei 2009

Sebutan semula kes rasuah Norza 9 Jun

BERNAMA


TEMERLOH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan sehingga 9 Jun depan untuk sebutan semula kes rasuah membabitkan bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Mohamad Norza Zakaria.

Hakim Azhar Che Yusof menetapkan tarikh berkenaan kerana pihak pembelaan masih lagi menunggu keputusan Pejabat Peguam Negara mempertimbangkan surat cadangan yang dihantar peguambela tertuduh pada 4 April lepas untuk mempertimbangkan beberapa perkara dalam kes berkenaan.

Mohamad Norza diwakili Datuk Muhammad Shafee Abdullah manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Ahmad Sazili Abdul Khairi.

Kes Mohamad Norza, 43, bersama seorang lagi tertuduh, Halimi Kamaruzzaman dipindahkan ke mahkamah berkenaan selepas mereka didakwa di Mahkamah Majistret di sini, 13 Mac lepas.

Bekas anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno itu dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan memberi suapan wang tunai RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi sebagai dorongan untuk diagihkan kepada perwakilan bagi membantu mengundinya memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung Umno Mac lepas.

Mohamad Norza juga dituduh memberi suapan wang tunai RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

Kedua-dua tuduhan itu didakwa dilakukan di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh pada jam 6.30 petang, 20 Jan lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 atau mana lebih tinggi mengikut Seksyen 24 akta sama.

Tiada ulasan: