Selasa, 12 Mei 2009

Polis kenal pasti peragut wanita hamil

BERNAMA


KOTA BAHARU - Polis telah mengenal pasti dan sedang memburu seorang lagi lelaki yang turut terbabit meragut seorang wanita hamil sehingga mengakibatkan kematian wanita itu di Jalan Melor-Ketereh pada Rabu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu dipercayai masih berada di sekitar kawasan kejadian di Kampung Padang Raja.

''Polis akan menangkapnya dalam masa terdekat. Kini menunggu maklumat dari orang ramai bagi menentukan tempat persembunyiannya,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, Saripah Mohd. Noor, 34, yang hamil tiga bulan maut selepas diragut oleh dua lelaki bermotosikal, apabila motosikal yang ditunggangnya terbalik dan dilanggar oleh sebuah kenderaan lain.

Abdul Rahim berkata, rakan kepada lelaki terbabit telah ditahan sehari selepas kejadian dan kini sedang direman tujuh hari.

''Kita harap dapat tahan lelaki terbabit dalam masa terdekat. Polis juga meminta suspek tampil menyerah diri bagi menyelesaikan kes dengan cepat,'' katanya.

Abdul Rahim berkata, ibu bapa perlu menasihati anak-anak mereka agar tidak meragut atau terbabit dengan kegiatan lumba motosikal haram.

Tiada ulasan: