Khamis, 14 Mei 2009

Gerak Khas terima Sijil MBR

MYMETRO


KUALA LUMPUR: Drama TV bersiri popular, Gerak Khas yang mengangkat kehebatan anggota polis membanteras jenayah akan menerima anugerah sijil dari The Malaysia Book Of Records (MBR) pada Majlis 10 Gerak Khas Bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam esok.

Majlis itu berlangsung di Padang Semarak, Angkasapuri bermula jam 8 malam, turut meraikan sambutan ulang tahun ke-10 drama berkenaan yang masih ditayangkan di RTM. Drama terbitan Skop Productions Sdn Bhd itu mencatat kejayaan kerana paling lama diterbitkan.

Atas kejayaan itu, MBR memberi anugerah sijil pada drama itu sebagai mengiktiraf drama kepolisan terpanjang di TV. Pengasas MBR, Datuk Danny Ooi menyampaikan sijil berkenaan kepada produser, Datuk Yusof Haslam.

Yusof berkata, kejayaan drama ini di luar jangkaan apatah lagi mencatat rating tertinggi hingga mencecah 2 juta penonton. Drama ini mula ditayangkan pada 5 April 1999 sudah diterbitkan 530 episod dan kini masih ditayangkan di TV2 pada setiap Jumaat, jam 10.30 malam.

“Saya tidak sangka dengan kejayaan drama ini yang mampu bertahan hingga menjangkau usia 10 tahun. Banyak cabaran dan pengalaman yang ditempuh sepanjang menghasilkan drama ini seperti mencari plot penceritaan yang menarik, pemilihan pelakon yang sesuai dan pelakon hampir terbabit dengan kemalangan,” katanya.

Tiada ulasan: