Khamis, 14 Mei 2009

5 ceroboh Pusat Khidmat BN Kepala Batas ditahan

Oleh Fazallah Pit


BUKIT MERTAJAM: Polis menahan lima lelaki termasuk seorang pelajar berusia 15 tahun kerana disyaki memecah masuk Pusat Khidmat bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di Kepala Batas, Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub, berkata semua suspek berusia antara 15 dan 27 tahun ditahan di rumah masing-masing sekitar Permatang Bertam, Kepala Batas, kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.

“Polis juga menemui semula sebuah televisyen, keris pendek berwarna keemasan yang dilarikan dari pejabat itu, tetapi tidak menemui wang tunai RM200 yang turut dilaporkan hilang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah di sini, semalam.

Abdullah adalah Ahli Parlimen Kepala Batas dan Pengerusi BN kawasan itu.

Ayub berkata, kejadian pecah masuk Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN) Kepala Batas itu disedari seorang petugas pusat itu, kira-kira jam 7 pagi kelmarin apabila memasuki premis berkenaan.

Pekerja itu mendapati pintu pejabat terbuka, manakala keadaan di dalamnya berselerak. Berikutan itu, petugas berkenaan memaklumkan kepada pegawai atasannya sebelum membuat laporan polis.

Sebuah televisyen, sebilah keris pendek warna keemasan, beberapa peralatan pejabat dan wang tunai berjumlah RM200 dilaporkan dilarikan dalam kejadian itu.

“Berdasarkan maklumat awam dan risikan, polis menahan lima lelaki terbabit tetapi tidak menemui wang tunai dilarikan yang dipercayai sudah dibelanjakan. Kami percaya kes itu selesai berikutan penahanan lelaki terbabit," katanya.

Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Lima lelaki terbabit ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan: