Selasa, 14 April 2009

Rusuhan baju merah di Kelantan: Tiga lagi ditahan

KLPOS.COM/ UTUSAN


KB: Seorang tukang gunting adalah antara tiga lagi yang ditahan kerana terbabit dalam rusuhan selepas perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala FA di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV di sini Selasa lalu.

Mereka yang berusia antara 22 hingga 34 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dalam operasi memburu suspek yang dikenal pasti tengah malam tadi dan pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah memberitahu, dengan penangkapan itu, polis kini telah menahan 11 orang termasuk tiga daripada mereka pada malam kejadian.

Zahruddin berkata, polis kini giat memburu berpuluh lagi suspek untuk membantu siasatan dan mana-mana suspek yang gambarnya tersiar di dalam akhbar diminta tampil segera di balai polis berdekatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Mohd. Ghazali Abdul Rahman berkata, pihaknya sedang menunggu laporan daripada Kementerian Pelajaran berhubung kes seorang guru berusia 31 tahun yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam rusuhan itu.

Beliau berkata, guru terbabit boleh dikenakan tindakan disiplin berikutan penahanannya serta tindakan buang kerja jika disabitkan atas kesalahan melakukan jenayah.

Bagaimanapun, Mohd. Ghazali berkata, laporan dijangka akan diperoleh Khamis ini dan jabatan akan memutuskan tindakan yang akan dikenakan.

Selasa lalu, guru terbabit ditahan bersama dua lagi lelaki kerana disyaki membaling mercun ke arah polis dan memiliki tujuh butir mercun bola. / Utusan

Tiada ulasan: