Jumaat, 10 April 2009

Pemimpin PKR sokong kabinet Najib

MALAYSIA KINI


Menteri besar Selangor menyokong barisan jemaah menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan harapan mereka boleh menjalin hubungan lebih baik dengan negeri itu.

"Selangor mengalu-alukan pelantikan barisan anggota kabinet baru
yang diumumkan oleh perdana menteri petang tadi," kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kerajaan negeri berharap agar wujudnya ruang persefahaman agar kerajaan Selangor turut terlibat di dalam setiap perancangan pembangunan di Malaysia."

khalid ibrahim and selangorBeliau berharap beberapa isu-isu berbangkit antara Selangor dengan kerajaan persekutuan dapat diselesaikan, antaranya berkaitan penstrukturan semula industri air.

"Kerajaan negeri sememangnya berhasrat untuk mencari jalan penyelesaian muhibah melalui proses arbitrasi (timbang tara) di antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan syarikat konsesi air," katanya, yang juga ahli parlimen PKR di Bandar Tun Razak.

"Juga diharapkan agar menteri tenaga, teknologi hijau dan air yang baru (Datuk Peter Chin Fah Kui) dapat membantu kerajaan negeri dalam menyediakan perkhidmatan bekalan air yang efisyen serta pada kadar yang rendah bagi seluruh warga Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya."

Sementara Aliran Kesedaran Negara (Aliran) kecewa kerana perdana menteri masih mengekalkan majoriti menteri lama dalam kabinet pertamanya.

Presidennya P Ramakrisnan berkata, muka-muka lama itu sebahagian daripada pentadbiran sebelum ini yang "gagal berprestasi".

"Sekarang mereka dilantik sekali lagi di bawah kepimpinan baru dan kita tunggu dan lihat sama ada barisan baru ini mampu memenuhi janji-janji perdana menteri," katanya.

Kabinet Najib hanya membariskan enam muka baru di kalangan 28 menteri yang dilantik, termasuk dua yang dinaikkan pangkat daripada jawatan timbalan menteri.

Ramakrishnan juga berkata ia menunjukkan hanya "perubahan kecil" dilakukan dalam kabinet baru itu.

"Sebelum ini, ada spekulasi bahawa kabinet baru ini adalah lebih kecil daripada sebelumnya. Kalau bilangan menteri seramai 28 orang, memanglah ia lebih kecil daripada 32 orang sebelum ini.

"Tetapi dari segi lain ia besar. Jumlah timbalan menteri bertambah kepada 40 orang, berbanding dengan 38 orang sebelum ini," tambahnya.

Tiada ulasan: