Ahad, 12 April 2009

Kerajaan sokong guru YIK lanjut pelajaran - Dato' Mohd Amar

Mohd Nor Yahya


NILAM PURI - Dalam meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK), guru-guru yang berkhidmat di YIK amat digalakkan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dalam bidang perguruan di universiti tempatan, demikian menurut Pengerusi Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Dato'Mohd Amar Nik Abdullah ketika merasmikan mesyuarat agung Persatuan Guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (PGSABK) di Nilam Puri kali ke-19.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan YIK, Haji Zakaria Muhammad dan Yang Dipertua PGSABK, Wan Jusoh Wan Mamat.

Mohd Amar juga berkata, pihak kerajaan pernah menyediakan sejumlah RM100 ribu bagi memberi galakkan kepada kakitangan YIK untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi.

"Saya berharap semua guru di YIK akan merebut peluang untuk belajar dan mendapatkan diploma pendidikan demi masa depan mereka di samping meningkatkan mutu pengajaran di sekolah," ujarnya.

Menurut beliau lagi, PGSABK ini menjadi sebuah persatuan penggerak kepada dasar pendidikan kelolaan YIK dan dapat meningkatkan mutu disiplin guru sekolah.

Di majlis tersebut juga, Mohd Amar menyelar segelintir guru di sekolah YIK yang melanggar etika profesion guru seperti merokok di hadapan pelajar, sentiasa meninggalkan kelas, datang lewat ke sekolah dan sebagainya.

"Saya amat malu kerana sering mendengar sungutan dari orang ramai yang mengatakan terdapat segelintir guru sekolah agama yang bersikap seperti mereka yang tiada pendidikan asas agama dan ini amat tidak sesuai guru sebegini berada di sekolah YIK dan saya sering membuat lawatan mengejut ke sekolah dan memang ada mereka yang bersikap sedemikian," katanya lagi.

"Kerajaan memandang serius tentang kesedaran orang ramai dari negeri luar yang sanggup menghantar anak-anak mereka mendapat pendidikan di sekolah YIK walaupun sekolah YIK mempunyai serba kekurangan kemudahan asas dalam pelbagai aspek seperti bangunan, kemudahan pembelajaran dan tahap pendidikan guru sendiri yang masih ramai lagi tidak mempunyai diploma pendidikan, mereka tetap yakin dengan prestasi YIK yang melahirkan mereka yang mempunyai pendidikan agama.

"Kita seharusnya menghargai semangat orang luar dari Kelantan ini dan sewajarnya guru-guru menunjukkan disiplin yang sebaik mungkin," katanya lagi.

Sementara itu, Yang Dipertua PGSABK, Wan Jusoh Wan Mamat berkata persatuan yang disertai oleh guru-guru di sekolah YIK ini amat berharap agar YIK dapat menubuhkan sebuah pusat sumber bagi guru-guru membuat rujukan, di samping itu persatuan juga berharap kerajaan dapat membuka semula pinjaman di bawah Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin) kepada guru-guru yang ingin melanjutkan pelajaran mereka. - mns_

Tiada ulasan: