Rabu, 8 April 2009

Anwar: Fairus kekal ADUN Penanti hingga PRU ke-13

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN


PETALING JAYA: Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Mohammad Fairus Khairuddin hanya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan Exco berkuat kuasa hari ini.

Bagaimanapun menurut Anwar, Fairus akan kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Penanti sehingga pilihan raya umum ke-13.

"Untuk apa kita nak akan ada pilihan kecil? Dia (Fairus) hanya menghantar surat peletakkan jawatannya sebagai ADUN dan Exco kepada Ketua Menteri (Lim Guan Eng) berkuat kuasa hari ini," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai status kerusi DUN Penanti.

Pada 21 Mac lalu, Fairus telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Exco Kerajaan negeri, berkuat kuasa hari ini tetapi mengekalkan jawatan ADUN.

Peletakan jawatan itu dipercayai ada kaitan dengan pendedahan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kepala Batas, Amizuddin Ahmat, Februari lalu yang mendakwa dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) terbabit dalam penyelewengan membabitkan syarikat kuari di Seberang Prai.

Sementara itu, Anwar yang juga Penasihat PKR berkata keputusan tiga pilihan raya semalam adalah satu referendum kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri yang baru.

"Memang ia satu referendum kerana kempen Umno dan BN di ketiga-tiga kawasan pilihan raya menjurus kepada kepimpinan yang baru. Mereka (pemimpin BN dan Umno) menyeru rakyat memberi peluang kepada Najib.

"Dia (Najib) telah menjanjikan pelbagai perubahan. Umno mengakui mereka ada melakukan kesilapan pada masa lalu jadi mereka (Umno) meminta rakyat memaafkannya.

"Jadi mereka bawa Tun Mahathir masuk, itu masalahnya," katanya.

Tambah beliau, sepanjang kempen pilihan raya Umno hanya mengetengahkan agenda Melayu serta cuba menarik sokongan daripada rakyat dengan menggunakan slogan "Satu Malaysia" yang diumumkan oleh Najib sebaik beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, bagaimanapun semua usaha tersebut menemui kegagalan dan ia tidak diterima oleh rakyat.

"Beliau (Najib) perlu konsisten membawa perubahan. Dia perlu mengambil insiatif yang jelas dalam pentadbirannya kelak," katanya.

Jumaat lalu, Najib yang baru mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam mengumumkan untuk mengkaji semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), membebaskan 13 tahanan ISA termasuk 2 pemimpin Hindraf dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri.

Ditanya adakah, Najib akan mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat, Anwar yakin Najib tidak akan berbuat demikian dengan suasana politik BN dan Umno yang tidak menentu ketika ini.

"Jika mereka (BN dan Umno) nak buat pilihan raya kita amat mengalu-alukannya kerana kita dengan mudah akan dapat membentuk kerajaan yang baru. Insya-Allah," katanya.

Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, gabungan DAP, PKR dan PAS tidak langsung menyentuh isu yang berbaur perkauman sepanjang kempen pilihan raya tersebut berlangsung.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kemasukan semula bekas Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamed tidak memberi sebarang kelebihan untuk Umno dan Barisan Nasional untuk menang di kawasan Bukit Gantang dab DUN Bukit Selambau, Anwar bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Yang itu kamu kena jawab lah..Cuma kita buat kesilapan kita patutnya hantar Tun Mahathir ke Batang Ai. Cukup la, cukup...Selalunya saya jarang nak ulas mengenai Tun Mahathir. Biar dia (Tun Mahathir) serang saya cukup secara peribadi," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya apakah kejutan yang ingin diumumkan hari ini seperti yang dikatakannya dalam kempen pilihan raya kecil di DUN Bukit Selambau Anwar berkata:

"Di Bukit Selambau kita umumkan kemasukan secara beramai-ramai ahli Parti Progresif Penduduk (PPP). Apakah itu bukan kejutan yang besar? Kita juga akan umumkan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada pengundi-pengundi pelbagai bangsa di Bukit Selambau.

"Dalam masa yang sama terdapat juga beberapa Ketua Bahagian Umno di Kedah juga ada yang menyertai kita. Saya rasa kejutan yang kita katakan itu sudah cukup besar," katanya.

"Sebab itulah kita suruh mereka tunggu sehingga kita menang kedua-dua pilihan raya kecil ini. Sekarang kita dah umum..saya tak tahu apa perkara penting lagi yang hendak diumumkan.

"Kemenangan kita di dua pilihan raya kecil dengan majoriti yang leih besar selepas kita mendapat Perdana Menteri yang baru. Adakah itu tidak cukup untuk membuktikan rakyat terus menolak Umno dan BN," katanya.

Tegasnya, apa jua perubahan yang diumumkan Najib itu tetap tidak dapat mengubah pendirian rakyat dan ia telah diterjemahkan dalam keputusan dua daripada tiga pilihan raya kecil yang berlansung semalam.

PAS dan PKR telah mempertahankan kerusi masing-masing di kerusi Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau dengan majoriti yang lebih besar berbanding keputusan pilihan raya umum ke-12 8 Mac 2008, manakala BN pula mengekalkan kerusi di DUN Batang Ai.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai barisan Kabinet yang dijangka akan diumumkan oleh Perdana Menteri yang baru hari ini, Anwar berkata perkara tersebut tidak akan membawa sebarang perubahan kerana rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan Pakatan.

Tiada ulasan: