Ahad, 5 April 2009

Amanah pengundi tolak BN di tiga pilihan raya kecil

Roslan Shahir


Semua pihak sedang bekerja kuat di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai untuk memenangkan calon masing-masing. PAS dan PKR yang bertanding di kerusi-kerusi berkenaan atas nama Pakatan Rakyat terpaksa berpuas hati dengan apa sahaja saki-baki media yang ada untuk memanjangkan kempennya disamping berkempen secara konvensional. Berlainan dengan BN-Umno-MIC, berbagai saluran berada dalam tangan dan kekuasaan mereka. TV, radio, akhbar saluran perdana kesemuanya dipergunakan untuk berkempen bagi calon BN. Itulah lumrah demokrasi di Malaysia.

Kisah pertautan kembali Mahathir dan Dollah sebagaimana berlaku pada sesi penutup Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini dijadikan modal, betapa Umno kembali berpadu di bawah Presiden barunya. Mahathir dan Dollah yang bertelagah sejak beberapa tahun lampau, rupanya dapat didamaikan oleh Najib dalam sekelip mata, ahhh untungnya bangsa Melayu!

Seorang pembaca Utusan Malaysia, Dr Mohd Azam Rauzan dari Bukit Gantang sampai ke peringkat menulis:

"Pada penghayatan saya segala yang mencakupi peradaban Melayu dapat kita saksikan berlaku di atas pentas Dewan Merdeka PWTC."

Beliau seterusnya menceduk beberapa kerat sajak keramat SN Usman Awang 'Melayu':

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulam daya
Gedung akal laut bicara

Memanglah indah kalau digilap tembaga lama. Walaupun telah kotor, lusuh kehijau-hijauan, tetapi kalau digilap ia akan tampak berkilau walaupun hakikatnya ia sudah tua dan usang. Apa sahaja yang mahu kita pandangan cantik, cantiklah ia walaupun hakikatnya buruk pada pandangan lain.

Kita nampak Mahathir dan Dollah atas pentas (walaupun ada yang melihat seakan terpkasa) lalu kita andaikan Melayu dah bersatu, singkatnya andaian kita. Takdir allah swt dalam media 'kempen BN'hari ini, akhbar The Star memuatkan di bahagian yang berbeza reaksi Mahathir dan Dollah (yang agaknya tidak tergamak disiarkan oleh Utusan takut terbaca di Bukit Gantang).

Bila ditanya apakah dialog antara beliau dan Mahathir di atas pentas pada hari itu, kata Dollah:

"It was so rushed. I don't remember anymore. (It was) not very significant."

Ia berlaku terlalu pantas. Saya sendiri pun tidak ingat lagi. (Ia sebenarnya) tidaklah penting sangat.

Kemudian dari London, akhbar yang sama bertanya pada Mahathir berkenaan majlis di PWTC itu. Kata Mahathir:

"I can shake hands with him but I did not hug as was reported."

Saya boleh berjabat tangan dengan beliau tetapi saya tidak pun memeluk beliau sebagaimana yang dilaporkan.

Malah akhbar berkenaan menambah:

He sought to downplay his appearance with Abdullah saying it was not something important.

Beliau tidak mahu menonjolkan sangat pertemuannya dengan Abdullah itu dengan berkata ia (pertemuan itu) sesuatu yang tidak penting.

Kalau Mahathir dan Dollah sendiri merasakan peristiwa kononnya 'bersejarah' di PWTC itu sebagai tidak penting: 'not significant' atau 'not something important', mengapa pula kita yang dipaksa untuk menerima seolah ia sesuatu yang sangat besar, bermakna, menyatukan umat Melayu!

Artikel Dr Mohd Azam itu diberi tajuk 'hanya BN mampu terjemah mimpi menjadi reality' oleh editor Utusan. Hebat, besar dan megah sungguh tajuknya. Tetapi cuba selak ke muka 9 akhbar yang sama. Penulis pojok 'Cuit', Zaini Hassan pula membentangkan sedutan laporan analisis pemilihan Umno baru-baru ini yang menurut beliau disediakan oleh sekumpulan pakar bebas.

Apakah penemuan analisis itu:

"Adalah diyakini PW (politik wang) akan terus menguasai dan membudaya dikalangan perwakilan Perhimpunan Agung Umno ditahun-tahun yang akan datang serta seterusnya akan terus kuat menggugat usaha dan keupayaan barisan pimpinan Umno yang berkelayakan.."

Dalam analisis itu juga dipetik:

"Yakin dan mengetahui secara sedar dan positif adalah lebih daripada separuh iaitu melebihi tahap 50% dari senarai calon berjaya dalam persaingan pemilihan ahli majlis tertinggi (AMT) ke 59 terlibat dan turut mencebur diri dalam amalan PW.."

Ini bukan terbit dalam Harakah atau Suara Keadilan tetapi dalam Utusan Malaysia dan analisisnya pula bukan dibuat oleh orang PAS atau PKR, ia dibuat oleh pakar bebas!

Kalau beginilah Umno kini dan beginilah Umno diwaktu mendatang, jangan sesiapa menaruh harapan pada BN untuk menterjemah mimpi menjadi realiti. Malah menjadi tanggungjawab dan amanah pada para pengundi di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai untuk menolak BN kerana mengundi mereka bermakna memperjudikan nasib dan masa depan agama, bangsa dan Negara.

Mungkin Dr Mohd Azam perlu petik bait-bait yang lain dalam puisi SN Usman Awang itu. Kalau Melayu Umno lah yang dimaksudkan, lebih baik kita hidangkan bait-bait berikut:

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Ai ayuh bangkit dari mimpi. Tinggalkan BN undilah Pakatan Rakyat! - azm _

Tiada ulasan: