Sabtu, 24 Julai 2021

Individu lengkap vaksin akan dapat lebih banyak manfaat

 ainulillia

Kes serius babit golongan umur 60 tahun ke atas menurun

KUALA LUMPUR – Individu yang menerima vaksin lengkap akan menikmati lebih banyak manfaat, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, negara-negara yang mana kira-kira 30 peratus hingga 40 peratus populasinya telah divaksin lazimnya akan mula mengurangkan sekatan tertentu.

“Ini bukan pembukaan penuh tetapi sekatan tertentu dihapuskan. Contohnya, aktiviti sukan seperti tenis dan badminton, mereka yang telah mendapat dua dos suntikan dan telah melepasi tempoh dua minggu boleh melakukan latihan dan sebagainya.

“Jika anda melihat sektor kesihatan, walaupun jangkitan masih berlaku pada mereka yang telah divaksinasi sepenuhnya, kadar kebolehjangkitan hanya sekitar 1.59 peratus, dan kebanyakannya adalah kes kategori satu dan dua,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengatakan Perdana Menteri akan mengumumkan ‘manfaat vaksinasi’ untuk individu yang sudah divaksin tidak lama lagi.

“Hingga kini, kira-kira 21 peratus populasi telah menerima dos kedua dan kami telah melepasi ambang vaksinasi 10 peratus untuk beralih dari Fasa Satu ke Dua. 

“Untuk memasuki Fasa Ketiga dalam Pelan Pemulihan Nasional (PPN), kita memerlukan 40 peratus penduduk menerima kedua-dua dos suntikan tetapi beberapa tempat sudah melebihi sasaran itu.

“Kami juga mencadangkan agar beberapa elaun diberikan kepada mereka yang telah menerima dos kedua dan melepasi tempoh dua minggu. Ini akan diumumkan oleh Perdana Menteri tidak lama lagi,” katanya.

Mengenai statistik jangkitan semasa, Dr Adham mengatakan kes serius di kalangan mereka yang berumur 60 tahun ke atas telah menurun berikutan vaksinasi.

“Data menunjukkan bahawa sejak mereka mendapat vaksinasi ketika Program Imunisasi Nasional COVID-19 dimulakan, terdapat penurunan yang signifikan dalam kes Kategori empat dan lima dari kumpulan usia itu,” katanya.

Tiada ulasan: