Rabu, 28 Julai 2021

Masalah doktor kontrak berlaku zaman BN dan PH – Abdul Latiff

Manzaidi Mohd Amin
abdul-latiff
Abdul Latiff Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Tidak ada kerajaan melainkan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil berat masalah dihadapi doktor dan pegawai perubatan lantikan kontrak, kata Ahli Parlimen Kuala Krai (Pas), Abdul Latiff Abdul Rahman.

Beliau berkata, masalah lantikan kontrak itu bermula di zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) tahun 2016 dan berlarutan sehingga kerajaan Pakatan harapan (PH) pada tahun 2018.

Namun, katanya, sebaik PN mengambil alih kerajaan pada tahun 2020, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi maklum balas kepada tuntutan doktor dan pegawai perubatan itu.

“Perlu diingat, hanya kerajaan PN sahaja yang memberi respon kepada tuntutan doktor kontrak ini melalui arahan Perdana Menteri kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengemukakan pelan komprehensif bagi menyelesaikan isu ini.

“Saya menyanjung usaha doktor kontrak ini yang berani menyuarakan pandangan demi kerjaya dan masa depan mereka. Walaupun, tidak berpuas hati dengan layanan kerajaan, mereka tetap menjaga pesakit masing-masing.

“Inilah kualiti yang ada pada doktor kontrak dan tidak dimiliki oleh golongan profesional yang lain,” katanya pada sesi perbahasan penerangan Kementerian Kesihatan di Parlimen petang ini.

Menurut Abdul Latiff, Pas sebagai parti komponen kerajaan PN telah mengemukakan cadangan mengenai perkara berkaitan doktor kontrak kepada Perdana Menteri pada 28 Jun lalu.

Ujar beliau, Muhyiddin telah menerima baik cadangan Pas itu dan telah dimasukkan dalam arahan kajian oleh KKM.

Katanya, bagi mengatasi masalah doktor kontrak untuk jangka panjang, ia memerlukan perancangan yang rapi kerana akan memberi impak yang besar kepada negara.

“Tentunya ia tidak boleh dilakukan atas dasar sentimen atau emosi. Ia perlu juga dilakukan secara menyeluruh kerana beban penggajian akan meningkat melebihi RM2 bilion setahun dengan jangkaan pertambahan RM250 juta setiap tahun.

“Kos ini melibatkan pengambilan semua graduan perubatan yang seramai 5,000 orang yang dihasilkan negara setiap tahun,” katanya.

Justeru, kata beliau, pengumuman rasmi Perdana Menteri pada 23 Julai lalu itu adalah komitmen kerajaan untuk mengatasi masalah doktor kontrak tersebut dengan reformasi yang menyeluruh dalam perkhidmatan kesihatan negara.

Komitmen itu kata beliau, tidak pernah dilakukan oleh kerajaan BN dan kerajaan PH sebelum ini. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: