AGENDA DAILY
Pakar perubatan melahirkan kebimbangan tindakan sesetengah pihak menyertai demonstrasi jalanan ketika negara sedang bergelut dengan Covid-19 akan memburukkan lagi situasi pandemik di negara ini.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata ini terutama apabila Lembah Klang kini menjadi kawasan hotspot penularan kes baharu Covid-19.
“Dalam situasi demonstrasi, adalah amat sukar untuk mereka (peserta) mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka pada setiap masa, dan terdapat juga kemungkinan mereka akan berkongsi bekas minuman dan lain-lain.
“Jadi, dengan varian baharu Covid-19 seperti Delta yang mudah sekali berjangkit dan terdapat pula pengumpulan ramai di sesuatu tempat, maka boleh berlaku kemungkinan penularan baharu,” katanya.
Dr Zainal Ariffin berkata demikian sebagai mengulas demonstrasi yang diadakan oleh kumpulan anak muda Sekretariat Solidariti Rakyat di Dataran Merdeka di sini, hari ini, kononnya untuk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan gagal menangani wabak Covid-19 negara.
Memetik Bernama Dr Zainal Ariffin berkata berdasarkan statistik setakat Rabu lepas (28 Julai), sebanyak 199 kes varian Delta sudah dilaporkan dalam negara, dengan Sarawak mencatatkan 93 kes, Selangor dan Pahang (masing-masing 18), Labuan (14), Kuala Lumpur dan Johor masing-masing (11).
“Mengambil kira faktor ini, saya fikir adalah sangat logik untuk pihak berkuasa tidak membenarkan sebarang perkumpulan beramai-ramai.
“Mana-mana pihak yang terlibat ini sepatutnya masih boleh menyuarakan pendapat mereka melalui platform lain yang lebih bersesuaian antaranya melalui penggunaan media sosial,” tambahnya.
Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Johor Dr Ng Kim Fong berkata beliau tidak terkejut sekiranya kes baharu Covid-19 melebihi ramalan awal Kementerian Kesihatan iaitu sebanyak 24,000 kes sehari pada September ini.
“Pastinya jumlah itu akan menjadi tinggi lagi dan ini memungkinkan tempoh lockdown (sekatan pergerakan) yang lebih lama untuk rakyat Malaysia.
“Oleh itu, atas apa pun alasan, rakyat kena melihat sudut kesihatan dalam setiap tindakan mereka. Bantu petugas kesihatan dan doktor mengawal situasi Covid-19 kerana kebanyakan katil di hospital Lembah Klang kini sudah penuh, menunjukkan keadaan semakin tenat,” katanya yang kini ditugaskan sementara di Hospital Serdang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan