Ahad, 25 Julai 2021

Kerajaan tanggung kos pindah, rawat pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta


Kerajaan tanggung kos pemindahan dan rawatan pesakit bukan Covid-19 dari hospital kerajaan ke hospital swasta.

Kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk tempoh dua tahun bagi tujuan penyumberluaran, termasuk kos rawatan pesakit bukan Covid-19 yang dipindahkan ke hospital swasta.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba sebanyak 72 hospital swasta terlibat dalam proses penyumberluaran untuk menempatkan pesakit dari hospital kerajaan ke hospital swasta.

Memetik laporan Mingguan Malaysia hari ini beliau berkata RM40 juta diperuntukkan pada 2020 dan RM60 juta lagi tahun ini.

“Jumlah ini akan dipertingkatkan lagi khususnya di kawasan Lembah Klang,” katanya.

Berkenaan kos rawatan yang ditanggung kerajaan, Dr Adham berkata, kadar caj maksimum bagi seorang pesakit ditetapkan antara kerajaan dan swasta berdasarkan tiga kategori utama.

Katanya, RM45,000 bagi setiap pesakit untuk rawatan melibatkan pembedahan, RM25,000 untuk rawatan bukan pembedahan dan RM5,000 untuk rawatan susulan.

Sejak beberapa hari lalu pesakit bukan Covid-19 di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dilapor dipindahkan ke hospital swasta bagi memberi laluan kepada penempatan pesakit Covid-19 di hospital kerajaan.

Kelmarin, semua pesakit bukan Covid-19 di Hospital Selayang dipindahkan ke hospital swasta di sekitar Lembah Klang setelah Kementerian Kesihatan (KKM) menjadikannya sebagai hospital merawat pesakit Covid-19 sepenuhnya.

Perpindahan tersebut dilakukan menerusi kerjasama pintar Kementerian Kesihatan dengan hospital-hospital swasta.

Kerajaan dijangka memperluaskan kawasan penempatan pesakit di hospital swasta ke negeri-negeri lain susulan kes jangkitan harian sudah mencecah lebih 15,000 sejak kelmarin.

Sementara itu, Adham berkata, seramai 1,383 pesakit kategori pembedahan dan 674 pesakit kategori bukan pembedahan telah dipindah dan dirawat di hospital swasta dengan perbelanjaan berjumlah RM11.6 juta setakat ini.

“Bagi tahun ini sehingga 25 Jun lalu, sebanyak 1,615 pesakit kategori pembedahan dan 696 pesakit kategori bukan pembedahan telah dirawat di hospital swasta dengan kos RM8.84 juta,” katanya.

Tiada ulasan: