Prosedur operasi standard (SOP) yang baharu lebih longgar bagi individu melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan diumumkan dalam masa terdekat tidak lama lagi.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata berita baik itu akan diumumkan dalam beberapa hari lagi dan ia akan memberikan kelonggaran termasuk untuk merentas sempadan negeri serta melakukan aktiviti sosial seperti bersukan atau pun makan di restoran.
“Kita akan muktamadkan perkara ini dan saya akan umumkannya sebagai satu pakej penuh, termasuk dalam aspek sosial, sukan, dan aktiviti makan di restoran. Perincian ini akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya lapor Bernama semasa temu ramah khas dengan media hari ini.
Beliau berkata antara kelonggaran yang diberikan termasuk SOP bagi pergerakan dalam negara, termasuk perjalanan rentas sempadan terutama melibatkan suami atau isteri yang tinggal berjauhan.
Saya benar-benar berharap langkah ini akan memberikan sedikit ruang, keselesaan bagi orang ramai untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.
Pada 17 Julai lepas perdana menteri mengumumkan bahawa kelonggaran bagi individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 akan diputuskan di mesyuarat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam minggu ini.
Beliau dilaporkan berkata ini selaras dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi apabila negeri beralih ke Fasa Dua PPN, terutama melibatkan kawasan Lembah Klang.
PPN dijadualkan untuk dibentangkan oleh perdana menteri dalam Sidang Khas Parlimen yang bermula Isnin ini.
Merujuk kepada persidangan parlimen, Muhyiddin berkata walaupun sesi itu akan dibuka untuk perbahasan, kerajaan tegas dengan keputusan untuk meneruskan PPN sehingga keadaan negara pulih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan