Penularan wabak Covid-19 sememangnya mendatangkan kebimbangan bagi setiap individu. Tidak terkecuali ibu menyusu anak.
Tiada siapa boleh menafikan bahawa susu ibu dapat melindungi bayi daripada pelbagai jangkitan. Namun, tiada bukti susu badan dapat melindungi si manja daripada virus Covid-19.
Tetapi sekurang-kurangnya terdapat kajian menunjukkan terdapat antibodi dalam susu ibu yang bertindak balas dengan virus.
Di samping itu, bayi yang diberi susu badan didapati kurang kecenderungan untuk mengalami gejala pernafasan teruk ketika jatuh sakit.
Susukan bayi, turut bermanfaat buat si ibu
Susu badan bukan sahaja memberikan kebaikan pada si manja, bahkan ibu juga turut menerima manfaatnya.
Hormon yang dilepaskan di dalam tubuh ibu yang menyusukan anak dapat meningkatkan kesejahteraan serta menghilangkan tekanan dan kegelisahan.
Positif Covid-19, boleh ke ibu susukan anak?
Tiada siapa mahu menjadi mangsa jangkitan Covid-19, tetapi malangnya sesiapa sahaja berisiko untuk dijangkiti, termasuklah wanita hamil atau ibu yang menyusukan bayi.
Dan bagi menjawab persoalan di atas, ya, si kecil masih boleh menerima susu badan walaupun anda sebagai ibu diuji positif Covid-19.
Ini kerana susu ibu adalah selamat dan penting untuk tumbesaran bayi. Jika anda mampu untuk menyusukan si manja, amat penting untuk terus melakukannya.
Namun, terdapat garis panduan khas yang perlu dilakukan bagi melindungi bayi daripada wabak tersebut.
Umumnya, kita mengetahui Covid-19 boleh tersebar melalui titisan kecil di udara ketika individu yang dijangkiti bersin, batuk atau bercakap.
Bahkan, ada kalanya terdapat individu yang sudah dijangkiti tidak menyedari perkara tersebut kerana tidak mengalami sebarang simptom.
Lebih menakutkan lagi, mereka yang tidak berdepan gejala ini turut boleh menyebarkannya.
Jadi walaupun tidak terdapat bukti virus Covid-19 boleh tersebar dengan susu badan, tetapi wujud risiko penularannya melalui titisan air daripada mulut atau hidung.
Penyebaran juga boleh terjadi apabila anda tanpa sedar menyentuh wajah atau titisan air dan seterusnya memegang anak.
Oleh itu, amat penting untuk mengikuti garis panduan di bawah sekiranya mempunyai simptom atau berasakan anda terdedah kepada virus Covid-19.
1. Ibu menyusu anak perlu mencuci tangan
Sebelum menyusukan bayi, disarankan anda untuk mencuci tangan dengan sebaiknya menggunakan sabun bersama air.
Amalkan tabiat ini setiap waktu terutamanya sebelum dan selepas menguruskan bayi atau barangan mereka.
2. Ibu menyusu anak harus memakai pelitup muka
Memakai pelitup muka ketika di luar rumah sememangnya sudah menjadi kemestian. Tetapi perlu ke untuk memakainya ketika di dalam rumah?
Jika anda ingin menyusukan bayi, ya. Sama ada anda mempunyai simptom atau tidak, pakailah pelitup muka.
Bukan sahaja untuk penyusuan, tetapi juga semasa memegang, menukar lampin atau apa sahaja yang melibatkan si manja.
Tidak dinafikan ia tidak menyelesakan, malahan mungkin menyebabkan bayi berasa takut atau terkejut.
Namun, ia penting bagi melindungi si manja daripada dijangkiti virus Covid-19.
3. Membasmi permukaan
Bersihkan setiap permukaan yang anda sentuh dengan pembersih berasaskan alkohol. Ini termasuklah meja, botol mahukan pakaian.
Jangan lupa untuk membersihkan permukaan yang tidak disentuh tetapi mungkin terkena titisan air.
Sebaiknya bersihkan dan nyahkuman setiap permukaan atau barangan yang mungkin disentuh atau bersentuhan dengan si kecil.
Ini kerana virus berbahaya ini boleh bertahan pada sesuatu permukaan antara 48 hingga 72 jam.
4. Pam susu ibu
Jika berasa bimbang untuk menyusukan bayi secara terus, anda boleh mengepam susu dan meminta pasangan atau ahli keluarga memberikannya melalui botol susu.
Pastikan anda membasuh tangan dan membersihkan bahagian kulit yang akan disentuh sebelum mula mengepam susu.
Setiap kali selesai proses pam susu, pastikan botol dan alatan mengepam dibasuh dan disteril dengan menggunakan air mendidih.
Jangan lupa untuk mencuci payudara anda juga!
5. Susu formula
Sekiranya tidak larat, jangan memaksa diri. Sebaliknya ibu menyusu anak boleh menggunakan susu formula sebagai ganti.
Anda juga harus mengutamakan tahap kesihatan diri.
Risiko ibu menyusu anak
Kakitangan perubatan mungkin akan menasihatkan anda tidak menyusukan bayi atau memberikan susu dipam jika mengambil ubat-ubatan tertentu untuk jangkitan Covid-19 atau penyakit lain.
Ini kerana terdapat kemungkinan ubatan yang diambil mungkin tersebar kepada bayi melalui susu ibu. Malahan, terdapat beberapa jenis ubat yang boleh mengganggu bekalan susu.
Untuk lebih kepastian, berbincanglah dengan doktor.
Dalam masa sama, jika anda mengalami simptom jangkitan Covid-19 yang teruk, elakkan untuk menyusukan bayi.
Anda juga memerlukan tenaga untuk sembuh dan pulih daripada jangkitan ini.
Artikel ini telah disemak oleh panel Perubatan Hello Doctor dan telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan