Rabu, 28 Julai 2021

Menari langgar SOP, polis rakam percakapan penganjur

Oleh MOHAMAD ATHIR ISMAIL
TANGKAP layar individu menari tanpa pelitup muka dalam sebuah program politik dekat sebuah hotel di Shah Alam, Selangor.

SHAH ALAM: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sudah memanggil penganjur program kursus melibatkan sebuah parti politik yang berlangsung di Hotel Glenmarie di sini susulan tular video memaparkan kejadian tari menari di sana.

Polis turut memaklumkan beberapa pihak turut dipanggil untuk dirakam percakapan susulan terdapat tindakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dikesan terhadap individu yang hadir dalam majlis berkenaan.

Hal itu dimaklumkan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed yang memberitahu hanya pelanggaran SOP dikesan, namun penganjuran majlis pada April itu tidak melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita sudah panggil pihak penganjur dan sebagainya (untuk dirakam percakapan), tetapi sudah tentu ada beberapa perkara yang perlu kita selesaikan sebelum menghantar kepada pendakwa raya.

“Kita masih lagi sedang menyiasat. Perkara tersebut sebenarnya berlaku pada April yang lepas. Pada masa tersebut, memang dibenarkan untuk mengadakan program majlis dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, tular sebuah video menunjukkan beberapa peserta program berkenaan menari-nari sambil tidak memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Malah, video tular itu menjadi tumpuan apabila terpapar latar belakang majlis berkenaan yang menunjukkan gambar beberapa pemimpin negara.

Dalam pada itu, Arjunaidi turut menyentuh isu gerakan Hartal Doktor Kontrak yang berlangsung pada Isnin lalu dan memaklumkan tiada tindakan akan diambil terhadap doktor terlibat dalam hartal itu.

“Kita tidak mengambil sebarang tindakan dan kita tidak mengesan sebarang kesalahan SOP dan sebagainya pada doktor-doktor yang berkenaan, itu jelas, saya pun sudah cakap pada hari itu, tidak ada sebarang siasatan, kesalahan yang berlaku pada hari tersebut.

“Jadi, sekarang ini timbul, malah perkara ini dibawa ke Parlimen, saya difahamkan bahawa polis menjalankan siasatan ke atas doktor-doktor yang berkenaan. Saya hendak menjelaskan isu ini bahawasanya, atas kes ataupun penganjuran program yang berkenaan oleh para doktor, kita telah jelas tidak ada sebarang siasatan,” katanya. UTUSAN

Tiada ulasan: