Jumaat, 2 Ogos 2019

Sultan Johor selamatkan berjuta wang kerajaan

MALAYSIAKINI

   

Sultan Johor bertitah, campur tangan baginda dalam urusan pembelian peralatan Grup Gerak Khas (GGK) berjaya menyelamatkan wang kerajaan.

Menurut Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, tanpa campur tangan itu, ada wang bernilai jutaan ringgit akan dirugikan.

Baginda juga bertitah, tindakan tidak disenangi sesetengah pihak yang cuba mencari laba sebagai orang tengah.

"Saya sedar, tindakan saya mencampuri urusan perolehan komando ini tidak disenangi oleh sesetengah pihak yang ingin mengaut keuntungan sebagai ejen atau orang tengah," tegas baginda semasa majlis perbarisan sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-54 di Kem Iskandar, Mersing hari ini.

Kenyataan itu dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim.

Dalam kenyataannya sultan terbabit berkata sebagai seorang kolonel komandan GGK, baginda akan sentiasa mengambil tahu hal ehwal badan berkenaan dan tidak boleh dianggap "seperti patung".

"Pihak komando tidak seharusnya menerima apa sahaja peralatan yang dicadangkan atau hendak dijual oleh pembekal," titahnya.

Baginda juga memberitahu ada bekas pegawai kanan tentera kini menjadi ejen penjual perkakasan tentera kepada GGK dengan harga yang tidak masuk akal.

"Sebagai contoh, pembelian bot rigid raiding craft sebanyak lapan unit dicadangkan dengan kos RM5 juta seunit," titah Sultan Ibrahim.

Harga itu, titahnya, adalah tidak munasabah sama sekali. Justeru hasil campur tangan baginda, GGK diberikan peralatan yang lebih baik serta menjimatkan dana kerajaan.

"Jika saya tidak campur tangan dalam hal ini, siapa yang akan untung berjuta ringgit?" titah baginda.
Sementara itu baginda juga menyatakan rasa terima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan peruntukan hampir RM180 juta untuk perolehan beberapa peralatan khas komando.

Antaranya, payung terjun, rumah CQB (close quarters battle) dan kolam renang tempur di Kem Iskandar, Johor.


Tiada ulasan: