Jumaat, 23 Ogos 2019

Erma Fatima 'tunggu' Syed Saddiq jenguk Pawana Isabella


   

Selain kesukaran mendapatkan penaja, Erma Fatima meluahkan kekecewaan apabila tiada wakil kerajaan menunjukkan minat untuk menyaksikan naskhah terbaru arahannya, Pawana Isabella.

Pengarah dan pelakon itu berkata, mungkin tema mengenai perjuangan bangsa Melayu yang cuba diketengahkannya dirasakan pihak pemerintah sudah tidak penting untuk dihayati bersama-sama.

“Kami ada jemput agensi kerajaan, tapi tak ada yang datang setakat ni. Mungkin mereka tak berminat isu seperti yang saya bawa,” katanya.

Erma ditemui selepas pementasan Pawana Isabella untuk malam di Istana Budaya malam semalam.

Naskhah yang turut mendapat sentuhan arahan Naque Ariffin itu memulakan pementasannya semalam dan dijadual menamatkan persembahannya 31 Ogos ini.

Selain Erma, antara barisan pelakon yang menjayakan Pawana Isabella ialah, Syafiq Kyle, Janna Nick, Johan Raja Lawak, Azar Azmi dan Jay Iswazir.

Diminta merungkai spekulasi mengenai 'semangat' dibawa teater berkenaan, Erma berkata, ia dipersembahkan bukannya untuk mengutuk orang Melayu.

Bagi Erma, 51, melalui Pawana Isabella, dia sekadar memberi teguran kepada masyarakat Melayu supaya tidak menjadi bangsa yang menunggu untuk disuap sepanjang masa.
Pelakon Pawana Isabella bersama Ketua Pengarah Istana Budaya, 
Mohamed Juhari Shaarani (tengah).
“Bukan mengutuk tapi menegur. Kita tak boleh sanggah realiti mengenai orang Melayu. Dan kisah ni bukan untuk disaksikan Melayu saja, tapi juga bangsa lain.

“Saya anggap ni sebagai hadiah untuk anak-anak, waris dan bangsa yang harus kenal diri dan siapa tuan di Tanah Melayu.

“Kalau kenal sejarah, mereka akan tahu tanggungjawab untuk pertahankan ketuanan Melayu, itu amat penting,” katanya.

Sementara itu, Erma turut menyampaikan hasratnya agar Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dapat meluangkan masa hadir bagi menyokong pementasan Pawana Isabella.

“Sebagai pemimpin belia, semoga terbuka hati Syed Saddiq untuk bawa anak muda menonton teater ni.

"Secara tak langsung ia menyokong orang seni dan pada masa sama memahami apa cuba disampaikan,” katanya.


Tiada ulasan: