Gesa tarik balik kenyataan negatif terhadap pendakwah terkenal
BANGI– Pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik bukan ancaman buat negara,
sebaliknya beliau adalah pakar yang berhujah dengan ilmu perbandingan
agama, kata Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.
Beliau
berkata, pemimpin Malaysia khususnya pemimpin Islam wajar menerima baik
kehadiran Dr Zakir Naik kerana ilmu dan kehebatannya berhujah
berlandaskan fakta dan dalil.
Katanya,
Presiden PAS sebelum ini telah menegur sebahagian pemimpin kerajaan dan
mengingatkan orang Islam yang bertindak berlebih-lebihan menanam
kebencian terhadap Dr Zakir Naik.
“Kita
menyokong kenyataan Presiden PAS agar semua pihak tidak bertindak di
luar batasan dan menganggap keberadaan Dr Zakir Naik sebagai pencetus
kepada suasana tidak harmoni,” katanya.
Justeru,
Ustazah Nuridah yang juga Ahli Dewan Negara menggesa pemimpin kerajaan
menarik-balik kenyataan-kenyataan berbaur sentimen negatif yang
dilemparkan kepada Dr Zakir Naik.
“Selagi mana
tidak ada seorang pun yang pernah mati di tangan Zakir, bererti beliau
bukan satu ancaman besar yang mesti ditakuti oleh rakyat Malaysia
terutama yang bukan Islam.
“Sesungguhnya Islam datang membawa rahmat dan kesejahteraan kepada seluruh alam,” katanya.
Terdahulu,
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan melarang pendakwah terkenal itu
daripada menyampaikan ceramah awam di seluruh negara.
Perkara itu disahkan Ketua Komunikasi Korporatnya, Datuk Asmawati Ahmad yang menyatakan ia dilakukan demi keselamatan negara.
Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir turut memaklumkan bahawa status penduduk tetap
(PR) yang diberikan kepada pendakwah itu juga sedang dalam pemerhatian.
Dr Zakir
kini sedang disiasat polis di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu
sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan