Hari ini merupakan sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-62 dan dalam masa dua minggu, kita akan meraikan ulang tahun penubuhan Malaysia ke-56.
Ini adalah waktu untuk kita mengenepikan perbezaan dan mengukuhkan perpaduan sesama kita kerana Malaysia merupakan rumah yang kita diami bersama.
Namun sejak kebelakangan ini, perbezaan antara kita menjadi garis pemisah dan ia diburukkan lagi oleh mereka yang mempunyai kepentingan dan agenda untuk menimbulkan kesangsian sesama kita.
Malaysiakini tidak mempunyai niat untuk memecahbelahkan negara ini atau memainkan sentimen perkauman mahupun agama.
Bagaimanapun, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai isu-isu yang melibatkan kita semua.
Apa pun usaha kami, individu yang tidak senang dengan Malaysiakini akan sentiasa melihat kami memiliki motif tersembunyi walaupun hakikatnya tidak begitu.
Malaysiakini diheret dalam isu terbaru apabila Pengerusi Karangkraf, Hussamuddin Yaacub yang turut menerbitkan Sinar Harian mengulas artikel penjelasan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching mengenai pelajar bukan Islam dikecualikan daripada program #QuranHour.
#QuranHour adalah program yang disokong oleh Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) yang diasaskan Hussamuddin.
Matlamat kempen ini adalah untuk menggalakkan individu memperuntukkan satu jam setiap hari bagi membaca, memahami dan menyerap nilai-nilai yang terdapat dalam al-Quran.
Satu pekeliling dari Jabatan Pendidikan dikeluarkan bagi menggalakkan semua sekolah menganjurkan program itu tahun ini.
Sin Chew Daily melaporkan Khamis lalu bahawa guru besar sekolah jenis kebangsaan Cina terkejut dengan pekeliling berkenaan.
Penjelasan Teo
Teo kemudian mengeluarkan kenyataan akhbar yang menjelaskan bahawa pelajar bukan Islam tidak dipaksa mengambil bahagian dalam program sedemikian, yang dilaporkan oleh Malaysiakini bagi menghilangkan salah tanggapan terhadap isu itu.
Hussammuddin bagaimanapun mendakwa Malaysiakini, bersama dengan "akhbar vernakular" memprovokasi sentimen agama.
Malaysiakini setuju dengan Hussammuddin bahawa media tidak seharusnya menyentuh sentimen kaum atau agama. Namun adalah tidak bertanggungjawab sekiranya penjelasan tidak diterbitkan bagi menjernihkan keadaan kepada mana-mana pihak.
Dalam suasana yang 'panas' ini, kami percaya adalah menjadi tanggungjawab organisasi media mendidik rakyat Malaysia dan menghapuskan kebimbangan serta sikap saling tidak percaya.
Kami juga percaya adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mendedahkan individu yang cuba memecahbelahkan rakyat Malaysia melalui ucapan penuh kebencian, dan mendorong mereka yang berkuasa atau berpengaruh bertindak terhadap individu atau kumpulan ini serta mengambil langkah-langkah bagi memulihkan keadaan.
Malaysia adalah untuk semua rakyat Malaysia, ia adalah rumah kita dan semua patut dilayan dengan adil serta rasa hormat.
Selamat Hari Merdeka!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan