Rabu, 28 Ogos 2019

PAS cadang kongres kebangsaan cari penyelesaian isu kemiskinan

MALAYSIAKINI


   
PAS mencadangkan penganjuran kongres kebangsaan bagi mencari penyelesaian berkenaan masalah kemiskinan di Malaysia.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kongres itu haruslah melibatkan semua pihak tanpa mengira pendirian politik agar lebih objektif.

“Isu kemiskinan mesti dilihat satu perkara yang signifikan di samping memacu negara ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Kongres kebangsaan bertemakan kemiskinan ini dicadangkan ekoran percanggahan perspektif mengenai statistik kemiskinan yang dinyatakan kerajaan dengan laporan yang disediakan oleh Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston pada 23 Ogos 2019,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Melalui kongres itu, beliau berkata pelbagai candangan seperti semakan semula paras garis kemiskinan serta pelaksanaan dasar afirmatif boleh dibincangkan.

Minggu lalu, laporan Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.

Laporan itu susulan lawatan sebelas hari Alston ke pangsapuri kos rendah, pusat orang kurang upaya, komuniti orang asli dan sekolah di Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah, dan Kelantan.

Bagaimanapun ia dikritik Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yang berkata Malaysia menggunakan piawaian berdasarkan Canberra Group Handbook on Household Income Statistic, Edisi Kedua (2011) yang diterbitkan oleh PBB untuk mengukur kadar kemiskinan negara.

Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Muhammed Abdul Khalid menjelaskan indikator yang digunakan oleh kementerian itu untuk mengukur kadar kemiskinan di Malaysia sudah lapuk.

Menurut Garisan Pendapatan Kemiskinan (PLI), isi rumah yang berpendapatan kurang RM980 di semenanjung Malaysia ditakrif sebagai miskin. Kadar bagi Sabah dan Sarawak pula masing-masing RM1,180 dan RM1,020.

Mengluas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga anggota parlimen Kubang Kerian berkata masalah kemiskinan parlu menjadi isu pertama untuk diperbaiki kerajaan.

“PAS berpendapat isu kemiskinan mesti dijadikan fokus utama supaya jurang kaya miskin antara bandar dan luar bandar termasuk antara kaum dapat diperbaiki.

“Selain itu, ia turut melibatkan perubahan dasar, peruntukan skim bantuan atau subsidi dan juga pengagihan zakat,” katanya lagi.


Tiada ulasan: