Jumaat, 23 Ogos 2019

Kerajaan Pakatan Harapan khianati amanah rakyat?


Amanah diukur berdasarkan sejauh manakah seseorang berpegang kepada janjinya. Antara faktor yang menjurus kepada lelahnya rakyat terhadap politik adalah retorik yang melampau.

Sememangnya, sesetengah retorik amat terharu buat pertama kali didengar. Ada yang mendebarkan, ada juga yang membakar semangat, ada yang menyentuh hati, tatkala satu Malaysia tersepit dalam kebuntuan politik, diselubungi kemurungan, satu ketika dahulu.

Namun, lagu yang paling sedap pun, akan mencungkil rasa jemu di akhirnya, jikalau dimainkan secara berulangan. Apatah lagi, senario politik telah berubah, lanskap politik telah dirombak, dan posisi pemimpin politik telah bertukar selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Kerajaan Pakatan Harapan menawan Putrajaya dengan dukungan rakyat. Jikalau kita mengimbas detik-saat ketika itu, rakyat diletakkan dalam dilema sebelum memangkah di kertas undi. Ada yang terus pasrah, menganggap kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Harapan tidak memadai untuk undi kita. Mereka mengundi dengan kaki – terus menjarakkan diri dari PRU14, kalau bukan meninggalkan tanahair ini.

Ada pula yang tetap mahu menerokai jalan keluar ketika menemui jalan buntu. Mereka hilang percaya terhadap BN, tetapi juga tidak yakin dengan PH. Banyak sindiran yang menghakis tekad pengundi ketika itu – lebih-lebih lagi apabila PH mengitar-semula Perdana Menteri keempat, Dr.Mahathir Mohamad untuk dinobatkan sebagai calon PM ke-7.

Sentimen, dendam, kesangsian kekal menebal, tetapi cuba dikikis selapis demi selapis dengan jaminan pemimpin lain dalam PH. Undi untuk perubahan, bukan untuk mengangkat susuk tertentu.

Dengan hadirnya tokoh seperti Mohamad Sabu, Lim Kit Siang – pembangkang veteran yang diuji dan teruji, ada juga pengundi yang akhirnya percaya bahawa mereka akan mengimbangi kuasa PM, seandainya “sifat kediktatoran Mahathir” muncul kembali.

Ada juga yang membandingkan manifesto Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional. Tidak adil untuk dikatakan “dua kali lima”, atau “tiada beza antara BN dengan PH”. PH menjanjikan pemansuhan akta zalim dan draconian, PH juga menjanjikan pembangunan lestari dengan mengutamakan perlindungan alam sekitar.

Meskipun disindir sebagai janji manis yang ditaburkan politikus yang berlakon, tetapi faktor-faktor inilah antara punca yang mempengaruhi kecenderungan pengundi.

Dengan kata lain, pemimpin PH sebenarnya menjadikan integriti mereka sebagai modal untuk meraih sokongan. Untuk pengundi yang hilang kepercayaan terhadap politikus, ada antaranya menjadikan undi mereka sebagai persetujuan untuk dasar dan agenda yang dijanjikan.

Persoalannya, apakah pengundi kini dibalas dengan layanan yang memadai? Biar kita ambil contoh isu Lynas. Menurut laporan, 13 orang daripada 28 anggota kabinet sedia ada pernah menurunkan tandatangan ke atas petisyen agar kilang pemprosesan nadir bumi Lynas ditutup.

Dan seandainya kita melihat barisan pimpinan tertinggi PH yang sedia ada, Anwar Ibrahim (PKR), Lim Guan Eng (DAP), Mohamad Sabu (Amanah) antara yang menurunkan tandatangan.

Jadi, bagaimana permit operasi Lynas boleh diluluskan oleh kerajaan PH, yang telah lebih setahun mengambil alih tampuk pemerintahan? Bagaimana satu janji yang disepakati majoriti pemimpin PH, boleh diingkari begitu sahaja? Jadi, untuk apa muafakat dicapai? Untuk apa PH dibentuk?

Soalan-soalan ini perlu dijawab, kerana isu ini bukan membabitkan Lynas semata-mata, tetapi juga soal amanah kerajaan dan pemimpin politik. Apakah 15 anggota kabinet yang tidak menandatangani petisyen itu memberi lampu hijau untuk Lynas, atau ada di kalangan 13 anggota kabinet yang pernah menandatangani petisyen, kini mengingkari janji mereka?

Atau keputusan kabinet ini sebenarnya didominasi PM seorang, yang gagal disekat ataupun diimbangi menteri-menteri lain? Adakah 13 anggota kabinet yang pernah menurunkan tandatangan mereka untuk menolak Lynas dahulu, kini bangkit mempertahankan pendirian mereka? Apakah ia memadai sekadar dengan menyatakan pendirian, dan kemudian melepas tangan untuk permit Lynas dilanjutkan?

Kesemua persoalan ini perlu dijawab, kerana integriti pemimpin PH kini sedang terhakis, sehari demi sehari, kerana kegagalan mereka untuk menunaikan janji. Jikalau trend ini berterusan, bayangkan, bagaimana pengundi boleh diyakini dengan janji PH pada PRU15?

Persoalan ini wajar dipandang serius, kerana arus sedang menderas di peringkat akar umbi. Saya sebenarnya gusar apabila sesetengah menteri PH masih berjinak-jinak dengan beberapa slogan atau konsep yang diperkenalkan, misalnya maqasid syariah, “rahmatan lil alamin”. Bukan salah slogan atau konsep tersebut, malah baik sedap bunyinya dan baik maknanya.

Cuma, bagaimana konsep-konsep ini menjawab soalan mengapa permit Lynas dilanjutkan?

Zaman beretorik telah berakhir untuk PH. Masanya tiba untuk pemimpin PH menunaikan tanggungjawab mereka ke atas apa yang pernah diperkatakan, dan idealisme yang dipegang mereka, jika masih ada.

Tiada ulasan: