PENULARAN memo larangan
solat ke atas pekerja oleh pihak pengurusan salah satu kilang di Klang
adalah satu tindakan yang biadab dan tidak menghormati sensitiviti umat
Islam yang merupakan majoriti rakyat dalam negara Malaysia.
Memo larangan yang disertai dengan
hukuman denda sebanyak RM500 itu juga seakan mencabar kedaulatan negara
Malaysia yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana
dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan.
Walaupun isu ini telah pun selesai menurut laporan berita dari Utusan Malaysia (http://m.utusan.com.my/berita/nasional/pekerja-sahkan-memo-larangan-solat-betul-1.947594)
pada semalam, 1 Ogos 2019, setelah wakil pekerja berjumpa dengan pihak
pengurusan kilang namun diharapkan perkara seumpama begini tidak akan
berulang kembali.
Amat mendukacitakan apabila alasan yang
diberikan oleh pihak pengurusan adalah salah faham mengenai waktu solat
yang akhirnya menyebabkan memo tersebut dikeluarkan sedangkan Malaysia
sebuah negara yang memiliki peratusan penganut Islam yang besar.
Selain itu, isu yang menyentuh
sensitiviti umat Islam ini tidak wajar dipandang enteng dan dibiarkan
sebegitu sahaja. Sepatutnya di Negeri Selangor ini yang Menteri Besarnya
memegang portfolio agama mestilah cakna, mengambil tanggungjawab dan
melakukan sesuatu tindakan untuk memastikan perkara seumpama ini tidak
berlaku di tempat yang lain.
Kita juga memberi amaran agar semua
pihak yang ada menghormati sensitiviti umat Islam dalam apa jua keadaan.
Kita melihat sejak akhir-akhir ini khususnya pasca PRU14, isu yang
menyentuh sensitiviti umat Islam kerap berlaku.
Namun yang menjengkelkan ialah kadang
kala alasan yang diberikan ialah salah faham atau tidak tahu, sedangkan
kita berada di negara yang diperintah oleh orang beragama Islam,
majoriti rakyat beragama Islam, serta peruntukan Islam sebagai agama
Persekutuan dalam Perlembagaan malah Institusi Beraja selaku Ketua
Agama, bukannya kita berada di dalam sebuah negara komunis!
Islam Memimpin Perpaduan
SYARHAN HUMAIZI HALIM, Ketua Penerangan PAS Selangor
- HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan