Khamis, 6 Disember 2018

‘Usah tarik isu politik dalam sistem pendidikan’

Siti hafidah

Maszlee dinasihat akui kesilapan dan mohon maaf


PULAU PINANG – Pemuda UMNO Nibong Tebal menasihati Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tidak mengheret isu politik dalam bidang pendidikan di negara ini.

Ketuanya, Mohd Norhiesam Ismail berkata, banyak lagi isu yang lebih utama dalam memperkasa dan memperbaiki sistem pendidikan dibawah kepimpinan Malaysia Baharu.

“Nasihat saya pada Maszlee, berpijaklah pada bumi yang nyata. Sekarang anda bukan lagi pembangkang tetapi peneraju dan nakhoda kepada penentu hala tuju pendidikan negara masa kini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Maszlee sebagai berkata, isu berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan penyelewengan membabitkan ahli politik akan dimasukkan sebagai sukatan pelajaran Sejarah di sekolah.

Selepas menerima kritikan hebat ekoran cadangannya itu, Maszlee mendakwa kenyataan beliau disalah tafsir media.

Setiausaha Akhbar Menteri Pendidikan, Shahrul Aman dilaporkan berkata, kenyataan Maszlee tidak merujuk kepada sukatan pelajaran, sebaliknya merujuk kepada sejarah Malaysia secara am.

Mengulas mengenai perkara itu, Norhiesam berkata, kenyataan Maszlee supaya isu 1MDB dimasukkan dalam subjek Sejarah adalah jelas dan ia tidak berasas untuk menyalahkan media.

“Maszlee dinasihatkan untuk berani mengakui kesilapannya dalam memberikan cadangan ‘bodoh’ itu dan meminta maaf, bukannya cuba menegakkan benang basah,” katanya.


Tiada ulasan: