Sabtu, 22 Disember 2018

Semua inap desa di Johor akan diperiksa

 
   

Kerajaan negeri Johor akan melakukan pemeriksaan ke atas semua 24 inap desa yang berdaftar di negeri itu bagi memastikan infrastruktur yang disediakan dalam keadaan baik dan selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri Liow Cai Tung berkata langkah itu bagi memastikan pengusaha sentiasa dalam keadaan bersedia menerima tetamu.

“Bagi yang belum berdaftar, kami galakkan mereka berdaftar agar kerajaan boleh bantu dari segi promosi dan nasihat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Kembali ke Sekolah’ di Flat Tasek dekat Seri Alam, di Johor Bharu hari ini.

Katanya kerajaan negeri juga menggesa mereka yang belum mendaftar agar memanfaatkan pengecualian bayaran pendaftaran premis pelancongan sebanyak RM70 bagi tempoh Januari hingga Mac depan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Terdahulu lebih 70 kanak-kanak yang kurang berkemampuan dari kawasan Flat Tasek itu menerima bantuan persekolahan merangkumi beg sekolah dan baucar bernilai RM60.

Program anjuran Majlis Perbandaran Pasir Gudang itu juga bersempena sambutan Festival Dongzhi (Festival Solstis Musim Sejuk) yang diraikan bersama-sama penduduk flat berkenaan.

Mengulas isu lain, Liow berkata kerajaan negeri telah membelanjakan RM20,000 bagi menaik taraf taman permainan di kawasan flat itu yang siap sepenuhnya baru-baru ini.

Taman permainan ini dinaik taraf bagi memastikan keselamatan kanak-kanak yang menggunakan taman ini pada setiap petang, katanya.-- Bernama


Tiada ulasan: