TADI saya bangun
bertanyakan soalan saya berhubung apakah rasional kerajaan bercadang
untuk menetapkan had umur pengundi 18 tahun. Jika dilihat kepada jawapan
YB Timbalan Menteri Belia dan Sukan, ia boleh diterima dan kita boleh
berpuas hati dengan jawapan tersebut.
Cuma apabila saya diberikan peluang
untuk mengajukan soalan tambahan, saya bertanya tiga perkara kepada YB
Timbalan Menteri iaitu:
1. Adakah kerajaan bersedia untuk
membenarkan kempen politik di Sekolah Menengah memandangkan remaja
berusia 18 tahun biasanya merupakan tingkatan enam di sekolah-sekolah
menengah?
2. Adakah kerajaan akan mengadakan
pendaftaran automatik memandangkan janji Pakatan Harapan di dalam buku
manifesto yang diedarkan dari rumah ke rumah sebelum Pilihan Raya Umum
yang lalu meletakkan bahawa komitmen untuk menurunkan had umur mengundi
18 tahun dan pendaftaran automatik berada di dalam satu perenggan. Ia
bermaksud, komitmen itu ialah komitmen yang sama dan adalah tidak
munasabah untuk mereka lupa janji melaksanakan pendaftaran auomatik ini.
3. Adakah pandangan kerajaan
berhubung penetapan tarikh mengundi lebih awal dan akan diketahui oleh
semua pihak berbanding sebelum ini di mana tarikh pengundian hanya
diketahui oleh pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri?
Kesemua soalan ini tidak dijawab oleh YB Timbalan Menteri bahkan jawapannya lebih tersasar kepada fakta lain yang tidak ditanya.
Saya mempunyai maklumat bahawa kerajaan
yang diterajui oleh Pakatan Harapan pada hari ini keberatan untuk
melaksanakan pendaftaran automatik atas sebab-sebab yang boleh diteka
semua pihak. Sewajarnya, janji pilihan raya yang tidak memerlukan kos
seperti ini boleh dilaksanakan tanpa segan silu oleh kerajaan yang
memerintah.
Jika janji-janji lain yang melibatkan
kos tidak dapat dilaksanakan, ia boleh difahami sekalipun berulang-ulang
menggunakan alasan yang sama iaitu kerajaan terbeban dengan 1MDB.
Namun, bagaimana dengan janji pendaftaran pengundi secara automatik?
Adakah ia akan termasuk kepada koleksi janji-janji yang tidak akan dilaksanakan? Kita tunggu dan lihat.
*AHMAD FADHLI SHAARI. Ahli Parlimen Pasir Mas -HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan