Khamis, 6 Disember 2018

Penggunaan tin kitar semula bahaya: KP Kesihatan

ISMA WEB

Kementerian Kesihatan boleh ambil tindakan terhadap peniaga ingkar


BANGI – Penggunaan tin kitar semula bagi tujuan penyediaan minuman mengundang risiko kepada pengguna, termasuk kebersihan yang diragui, malah berpotensi mendatangkan kecederaan kerana permukaan yang tajam.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai isu minuman dalam tin kitar semula yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Isu ini timbul apabila sebuah kedai makan di Pulau Pinang dipercayai menghidangkan minuman kepada pelanggan menggunakan bekas tin susu (krimer manis) yang dikitar semula.

“Penggunaan tin bekas susu dan tin-tin lain yang dikitar semula bagi tujuan penyediaan minuman boleh memberikan risiko kepada pengguna.

“Kebersihan tin kitar semula adalah diragui kerana sukar dibersihkan dengan sempurna disebabkan rekabentuk tin tersebut dan kemungkinan terdapat permukaan tin yang kemek. Di samping itu, ia boleh mencederakan pengguna semasa minum disebabkan permukaan tin yang tajam,” katanya.

Noor Hisham berkata, mana-mana pihak yang menyediakan makanan yang memudaratkan kesihatan, termasuk menggunakan bungkusan yang berbahaya, boleh didenda.

“Peraturan 27, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 melarang penggunaan apa-apa bungkusan yang boleh mengeluarkan bahan beracun, merosakkan atau mencacatkan atau yang membantu dalam pemerosotan kualiti makanan.

“Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan yang di dalamnya mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh (10) tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai, khususnya peniaga makanan agar menghentikan penggunaan tin yang dikitar semula dalam penyediaan minuman kerana tin tersebut bukan bertujuan untuk penghidangan minuman.

“Peniaga hendaklah menggunakan bekas minuman yang bersesuaian dengan jenis minuman yang hendak dihidangkan, bagi mengelakkan pencemaran makanan dan bahaya kepada kesihatan,” katanya.


Tiada ulasan: