Khamis, 20 Disember 2018

MP Umno : Jadilah Pembangkang Yang Hebat

Oleh Mohammad Agus Yusoff



Kata-kata di atas saya tujukan kepada MP Umno yang masih lagi bersama parti. Jangan lagi dikisahkan kepada MP yang telah melompat. Mereka ada alasan tersendiri berbuat demikian.

Menjadi pembangkang yang hebat tidak payah. Perjuangkan isu rakyat, kuatkan jati diri. Dahulu YB selalu kata Umno parti keramat, maka buktikan sekarang bahawa YB kekal berada dalam Umno untuk mempertahankan parti keramat ini. Jangan menikus.

Sebelum ini, ramai menilai sukar bagi Umno untuk mendapat tempat dalam PRU-15. Dengan perkembangan sekarang yang semakin ramainya MP Umno melompat parti, peluang Umno kembali ada kerana telah semakin bersih daripada para pemimpin yang tidak setia pada perjuangan parti.

Bagaimana boleh jadi begitu? Tidakkah Bersatu semakin kuat dengan kemasukan MP Umno dalam Bersatu? MP Umno yang melompat ini tidak boleh menguatkan Bersatu. Apabila Bersatu tidak lagi berkuasa, maka MP Umno yang melompat ini akan melompat lagi.

Maka, untuk MP Umno yang masih ada, belajarlah jadi oposisi yang bermaruah, dan oposisi yang profesional dengan idea yang bernas. Tukar pendekatan parti supaya lebih relevan dengan tuntutan semasa.

Gagal mengambil kesempatan ini boleh menjadikan Umno tenggelam. Saya tidak mahu Umno tenggelam kerana tanpa Umno politik Malaysia tidak ada warnanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: