Rabu, 5 Disember 2018

Laporan audit 1MDB: SPRM nafi akan dakwa Arul Kanda

Sumber SPRM berkata, Arul Kanda Kandasamy sudah dipanggil 
semalam dan kertas siasatan belum diserahkan kepada Jabatan 
Peguam Negara kerana siasatan masih dijalankan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan Arul Kanda Kandasamy akan dihadapkan ke mahkamah berhubung dakwaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, selepas bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB itu dipanggil untuk membantu siasatan kes itu, kata sumber agensi anti-rasuah itu.

“Dah panggil semalam, tetapi tidak ada pertuduhan lagi.

“Kertas siasatan tidak hantar lagi dekat peguam negara. Siasatan dalam proses lagi,” kata sumber SPRM kepada FMT hari ini.

Sumber itu berkata, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dipanggil esok untuk disoal siasat berhubung dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Hari ini, bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad ketika disoal siasat agensi itu menafikan terbabit dalam meminda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Beliau berkata, satu-satunya pembabitan beliau ialah ketika mewakili Jabatan Peguam Negara sebagai pegawai undang-undang untuk menghadiri satu mesyuarat pada Februari 2016.

Katanya, beliau antara saksi terakhir disoal siasat SPRM, di mana lebih 15 individu dipanggil agensi anti-rasuah itu sebelumnya.

Bekas ketua audit negara, Tan Sri Ambrin Buang turut dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM hari ini, selepas sesi soal siasat pertamanya minggu lalu.

Pada 24 November lalu, Madinah mengeluarkan satu kenyataan mendakwa laporan audit itu dipinda atas arahan beberapa individu, termasuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas ketua setiausaha sulitnya, Tan Sri Shukry Salleh; bekas ketua setiausaha negara, Tan Sri Ali Hamsa; Ambrin dan Arul Kanda.

Madinah dilaporkan berkata, laporan itu dipinda dengan menggugurkan 2 perkara penting, iaitu kehadiran ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB dan satu perenggan yang mengandungi 2 versi penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014.

Tiada ulasan: