Isnin, 17 Disember 2018

Jamal: Umno Sg Besar desak Zahid undur presiden

MALAYSIAKINI

   

Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu berundur atau berehat dari jawatan presiden Umno berikutan isu yang menimpa parti politik itu, gesa Umno Bahagian Sungai Besar di Selangor.

Jamal Md Yunos yang merupakan ketua bahagian Umno itu dipetik BH Online berkata keputusan itu diambil selepas pergerakan bahagian itu hilang kepercayaan kepada Ahmad Zahid kerana gagal memulihkan keyakinan dan kepercayaan ahli parti.

“Melihat isu semasa, mengenai keadaan politik tanah air, saya dan Umno Sungai Besar berasa gusar. Saya tidak menyalahkan sesiapa tetapi Umno Sungai Besar sudah hilang kepercayaan kepada presiden parti iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Jadi Umno Sungai Besar mendesak supaya Datuk Seri Ahmad Zahid berundur atau berehat daripada memegang jawatan presiden parti untuk memberikan laluan kepada sistem yang ada dalam Umno itu sendiri.

“Hari ini saya tegaskan Sungai Besar adalah bahagian penyokong kuat kepada presiden Umno dengan itu Sungai Besar mengumumkan kami menarik kembali sokongan kami kepada presiden kerana kami melihat presiden tidak berupaya untuk menangani krisis yang berlaku sekarang ini.
"Saya tidak menyalahkan beliau tetapi dilihat beliau sangat lemah dan tidak berkemampuan,” katanya yang juga bekas pemimpin gerakan Baju Merah.

Bagaimanapun, BH Online juga melaporkan Jamal berkata tuduhan yang dikenakan terhadap Ahmad Zahid disifatkan sebagai tuduhan bermotifkan politik.

“Memang ada yang mengatakan baru tujuh bulan (menjadi pembangkang), tetapi dalam tempoh itu, saya tidak menyalahkan mana-mana ahli parlimen mahupun beliau (Ahmad Zahid).

“Malah, saya tidak menyatakan kelemahan beliau (Ahmad Zahid) tetapi keadaan yang berlaku ketika ini perlu diambil kira," katanya lagi.

Bermula Khamis 13 Disember lalu, sepuluh MP keluar Umno mendakwa presidennya Ahmad Zahid Hamidi gagal mengemudi arah haluan parti itu.

Terdahulu Umno Sabah keluar parti beramai-ramai, termasuk pengerusi negeri dan enam MP meninggalkan bekas parti pemerintah itu.

Sebelum ini, veteran Umno meminta Zahid supaya mendengar gesaan suara akar umbi yang mahu beliau berundur daripada jawatannya bagi membolehkan pemulihan parti berlangsung, kata pemimpin veteran parti itu.


Tiada ulasan: