Sabtu, 8 Disember 2018

ICERD: PH 'tunjuk belang' ada majoriti mudah

IZWAN ABDUL HALIM

KUALA LUMPUR: PH berani membawa ICERD ke Parlimen hanya kerana mendapat majoriti mudah, walhal kontrak sosial sedia ada lebih baik dari konvensyen antarabangsa itu.
 
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, melalui ICERD itu PH cuba merungkai asas-asas Perlembagaan melibatkan Islam dan hak-hak Bumiputera.
 
Sedangkan menurutnya, budaya masyarakat dan negara ini lebih baik dari Barat di mana mereka pula lebih menghormati hak-hak binatang daripada hak manusia sendiri.
 
"Maka kami Ahli Parlimen menyuarakan, "Sekiranya kamu berani membawa perkara (ICERD) ini di Parlimen, kami akan mengerah jutaan rakyat di jalan raya." Kerana himpunan jalan raya juga adalah demokrasi. Demokrasi aman, damai.
 
"Kita umat Islam menempa sejarah, orang Melayu yang awal-awal datang ke sini agama Hindu, Buddha, penduduk Nusantara, datang Islam mengajar kita secara damai. Islam datang ke sini dengan damai.
 
"Dengan peniaga-peniaga mengajar kita berakhlak mulia. Walaupun Islam mengajar berakhlak mulia, tetapi mesti menjadi bangsa berjati diri, punya kehebatan, yang tidak tunduk pada kehinaan," ujarnya.
 
Perkara itu dinyatakan beliau yang juga Ahli Parlimen Marang semasa berucap pada Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD di Dataran Merdeka, di sini sebentar tadi.
 
Beliau menyingkap sejarah perjuangan umat Islam di negara ini sejak 1511 lagi dalam menentang penjajah Portugis di mana membuktikan mereka tidak takut dengan senjata-senjata musuh yang pelbagai.
 
Bahkan senarainya, pejuang-pejuang Islam termasuk kalangan ulamak adalah mereka yang menentang penjajah sehingga akhir Perang Dunia Kedua hingga mendapat kemerdekaan.
 
Begitu juga jelasnya, parti politik seperti PAS, Umno, PBB, MCA, MIC dan pemimpin-pemimpin negara pelbagai kaum yang telah berjuang untuk kemerdekaan negara ini.
 
"Datang parti politik (PH) ini nak menunjuk belangnya. Baru 'simple majority'," bidasnya dan mengakhiri ucapan dengan menyampaikan pantun.
Sila beli kapur barus,
Sila jemput silalah kaut,
Jangan berani melawan arus,
Kelak tenggelam di dasar laut.
Dari Pelangai pergi ke Merapoh,
Kerana mahu beli buahnya,
Lampu merah jangan dirempuh,
Kalau dirempuh besar padahnya.
Dari Serdang ke Pasir Salak,
Datang menangguk udang galahnya,
Sarang tebuan jangan dijolok,
Kalau dijolok parah padahnya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: