Sejarah buruk yang berlaku antara bekas ketua menteri Melaka
Abdul Rahim Thamby Chik dengan pemimpin dalam Pakatan Harapan sebelum
ini membimbangkan akar umbi Bersatu apabila Rahim memohon untuk
menyertai parti itu semalam.
Ketua Pemuda Bersatu bahagian Klang Dr Muhammad Faiz Na'aman percaya setiap individu mempunyai sejarah silamnya dalam berpolitik, namun sensitiviti akar umbi serta pandangan rakan parti komponen PH perlu diambilkira.
"Terus-terang saya katakan, respon di peringkat akar umbi terutama para netizen dan orang muda dalam parti, Armada (Pemuda Bersatu) agak negatif terhadap kemasukan veteran-veteran Umno yang pernah ada kontroversi seperti Rahim Thamby Chik.
"Mereka melihat watak-watak seperti itu tidak mendatangkan nilai tambah kepada imej parti, apatah lagi menyumbang kepada pertambahan kerusi Parlimen untuk PH," katanya kepada Malaysiakini.
Senarai hitam nama dari Umno
"Sementara itu, pihak Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga telah mempunyai senarai hitam beberapa nama dari Umno yang tidak akan diterima untuk menyertai Bersatu akibat reputasi negatif, skandal korupsi serta kes-kes jenayah yang melibatkan mereka," katanya.
"Kenapa saya berpendapat sebegitu? Tidakkah akan terkena tempias tersebut kepada reputasi Bersatu, pada pandangan akar umbi serta rakyat?
"Seperti yang kami semua dimaklumkan pihak tertinggi Bersatu tidak akan sewenang-wenangnya menerima penghijrahan ahli-ahli Umno yang keluar parti ke Bersatu.
"Kami dari akar umbi yakin pihak tertinggi Bersatu akan bertindak adil dan bijaksana dalam menangani isu tersebut," katanya.
"Secara peribadi saya tak setuju. Tetapi apa saja keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan saya akur kerana mereka lebih layak dan berpengalaman dalam membuat keputusan," katanya.
Pada 16 Disember lalu, Rahim mengumumkan keluar dari Umno dan memohon untuk menyertai parti serpihannya.
Bagaimanapun,
pengumumannya itu dipandang serong oleh pelbagai pihak termasuk
pemimpin dari gabungan Pakatan Harapan berikutan konflik yang dihadapi
dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng
sebelum ini.
Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Perak Mohd Hafiz Mubin Mohd Salleh berkata Bersatu sewajarnya mempertimbangkan saranan dan pendapat daripada parti komponen kerana kejayaan yang dikecapi pada pilihan raya umum 14 turut datang dari hasil usaha mereka.
"Kepimpinan parti Bersatu pastinya turut mempertimbangkan saranan dan pendapat dari pemimpin dari parti-parti komponen lain dalam PH kerana kita akui bahawa kejayaan pada PRU14 yang lalu adalah hasil semangat Bersatu dan kerjasama baik antara semua pemimpin empat parti dalam PH dan semangat sebegini mestilah diteruskan," katanya.
"Kita faham masalah masa silam Tan Sri (Rahim) sikit sebanyak menjelaskan imej parti.
"Tapi dalam kes ini, sebagai rakyat Malaysia, beliau boleh memohon, terpulang kepada MPT dan Majlis Presiden untuk menerima atau menolak permohonan beliau," katanya.
Syarat ketat, tapisan polis, SPRM
Kedua-dua
Mohd Hafiz dan Wan Mohd Shahrir sepakat merasakan bekas pemimpin Umno
yang mempunyai rekod buruk dan terpalit dengan salah guna kuasa serta
rasuah perlu ditolak permohonan kemasukan mereka.
"Hanya yang benar-benar bersih dari SPRM, PDRM dan pandangan umum tidak terpalit skandal yang akan diterima," kata Wan Shahrir.
Untuk
rekod, Rahim yang menjadi ketua menteri Melaka selama 12 tahun,
disiasat bagi dakwaan rogol berstatutori terhadap seorang individu bawah
umur pada 1994. Kes itu kemudian digugurkan kerana kekurangan bukti.
Rahim memfailkan saman terhadap DAP atas tuduhan rogol berstatutori itu. Parti itu kemudian menarik balik dakwaan itu selepas mengambil kira pihak yang membuat tuduhan telah menarik balik dakwaannya.
Rahim kemudian membatalkan saman terhadap DAP. Di sebalik tuduhan itu, Rahim tidak pernah disabitkan.
Beliau juga sebahagian daripada 'trio Datuk' yang menayangkan video seks terhadap sekumpulan wartawan pada 2011.
Mereka mendakwa video itu memaparkan Anwar bersama seorang pelacur. Anwar menafikan dakwaan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan