Isnin, 15 Oktober 2018

TIMBALAN PRESIDEN PKR: AZMIN DAHULUI RAFIZI 777 UNDI




Kedudukan terkini pemilihan PKR menyaksikan penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului pencabarnya, Rafizi Ramli dengan perbezaan sebanyak 777 undi.

Persaingan kedua-dua tokoh pemimpin PKR menjadi tumpuan berikutan kedua-dua mereka dilihat sering berbeza pendapat berhubung beberapa isu.

Berdasarkan laman sesawang www.pemilihankeadilan2018.com itu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi memperoleh 28,920 undi berbanding Rafizi mendapat 28,143 undi.

Mohamed Azmin berjaya menguasai Pulau Pinang dan Johor manakala keputusan undi di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan memihak kepada Rafizi.

Kedudukan Mohamed Azmin telah diperkukuhkan dengan kemenangan pada pemilihan zon 1 Selangor pada 14 Oktober, apabila memperoleh sebanyak 9,337 undi manakala Rafizi memperoleh 8,563 undi.

Mohamed Azmin dijangka akan memperoleh undi yang banyak di Selangor yang juga dianggap kubu kuat kepada bekas Menteri Besar Selangor itu.

Di Selangor, Mohamed Azmin menang Cabang Sabak Bernam, Sungai Besar, Kota Raja, Serdang, Sepang dan Subang manakala Cabang Kapar, Kelana Jaya dan Hulu Selangor dimenangi Mohd Rafizi.

Baki 13 cabang lagi di Selangor akan menjalankan pengundian pada 21 Oktober melibatkan Cabang Puchong, Gombak, Petaling Jaya (PJ) Utara; PJ Selatan, Kuala Langat, Klang dan Selayang manakala pada 28 Oktober melibatkan Cabang Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat.

Tarikh pemilihan seterusnya ialah di Melaka dan Negeri Sembilan pada 20 Oktober, Perlis (21 Oktober), zon I Kedah (26 Oktober, zon II Kedah (27 Oktober), Perak (27 Oktober), zon I Sabah (3 November), zon II Sabah (4 November) dan Sarawak (10 November).


Tiada ulasan: