Isnin, 8 Oktober 2018

Peniaga tak beri kerjasama: MB



Peniaga tak beri kerjasama: MB
Pantai Port Dickson.
 
 
PORT DICKSON - Kegagalan segelintir peniaga di Port Dickson memberi kerjasama kepada kerajaan negeri dalam usaha menjaga kebersihan menjadi punca kemerosotan pelancong ke Pantai Peranginan Negara itu.

Menteri Besar, Aminuddin Harun mendakwa, hasil pemantauan yang dilakukan mendapati masih ada segelintir peniaga tidak memberi kerjasama kepada kerajaan negeri agar menjaga mengutamakan kebersihan.

Beliau berkata, kerajaan negeri hanya berkuasa menjaga kebersihan pantai manakala peniaga pula seharusnya mempunyai kesedaran untuk menjaga kebersihan di kawasan perniagaan masing-masing.

“Kehadiran pelancong ke negeri ini agak tinggi iaitu mencapai 7 juta orang hasil maklumat yang diterima daripada pihak pengurusan hotel dan saya rasa jumlah itu agak tinggi.

“Cuma sekarang ini, kita dapati ada peniaga gagal memberi kerjasama kerana tidak mengutamakan kebersihan kawasan niaga sehingga pengunjung tidak datang ke kedai mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang dakwaan kehadiran pelancong yang dilihat semakin merosot di Teluk Kemang.
Aminuddin
Beliau yang juga Exco pelancongan negeri Sembilan mendakwa, masih ada lagi peniaga tidak mempunyai kesedaran dalam menjaga dan mengutamakan kebersihan, malah juga sambil lewa terhadap nasihat diberikan.

“Walaupun pelbagai nasihat dan penekanan menjaga kebersihan, penyediaan makanan yang bersih telah diberikan, mereka tetap tidak beri kerjasama.

“Kononnya nasihat yang diberikan itu mengganggu perniagaan mereka,” katanya.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini, namun perlukan kerjasama semua pihak termasuk peniaga.

Katanya, pelancong  sangat mementingkan kebersihan dari semua sudut bagi memastikan makanan dan tempat yang dikunjungi sentiasa indah bersih.

“Jika tempat kita cantik dan bersih sudah pasti akan ramai pengunjung datang tetapi jika kotor siapa yang mahu datang?

"Sebab itu saya nasihatkan kepada peniaga agar mengutamakan kebersihan, biar tempat kita cantik. Pantai kita sudah bersihkan, jadi sama-samalah kita jaga kawasan perniagaan pula,” katanya.

Sementara itu, statistik dikeluarkan Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, mencatatkan kehadiran pelancong ke negeri ini pada tahun lalu meningkat sebanyak 6.8 juta berbanding 5.7 juta pada tahun 2015.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan, beberapa peniaga bimbang pendapatan mereka terjejas ekoran jumlah pengunjung didakwa semakin berkurangan sejak lima tahun lalu.

Mereka mendakwa, pantai-pantai di Port Dickson, terutamanya Teluk Kemang kelihatan lengang walaupun hari cuti.

Tiada ulasan: