Wartawan Watan-Online
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan menerima pujian daripada Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Hannah Yeoh yang menyifatkannya sebagai pembangkang baik dan rajin sepanjang persidangan Dewan Rakyat lalu.
Hannah yang memuat naik pujian itu menerusi akaun Twitter menyatakan, jika ditanya kepadanya berhubung prestasi persidangan Dewan Rakyat di Parlimen selama hampir sebulan, beliau memilih Ahmad.
“Jika anda tanya kepada saya, pembangkang MP @ahmadmaslan ini rajin di Parlimen. Dia memainkan peranannya dengan sangat baik terutama ketika berbahas dan berhujah dengan pihak kerajaan.
“Dia jauh lebih pintar sebagai seorang pembangkang,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.
Selain itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga menganggap Ahmad sebagai wakil rakyat yang sentiasa menjadi pilihannya.
Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Keempat Belas 2018 bersidang selama satu bulan bermula 16 Julai lalu hingga semalam (16 Ogos).
Sementara itu, Ahmad menerusi akaun twitternya pula memberitahu, beliau telah berusaha untuk menjadi pembangkang yang baik.
“Saya berbahas dengan fakta, data dan gaya saya. Ada orang suka, ada (orang) tak suka. Yang penting, saya sudah beri pandangan dan cadangan kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).
“Semoga sebahagian daripada cadangan dan pandangan itu diterima kerajaan,” tulis beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan