Satu-satunya tangis yang wajar datang daripada Dr
Mahathir kepada agamawan ialah agar mereka kembali kepada Perlembagaan
Malaysia dan Rukunegara.
Baru-baru ini, Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan menemui sekumpulan agamawan, ulama, ustaz, lebai atau pendakwah Islam dan diberitakan sebagai merayu agar citra Islam yang lebih berbelas kasihan dapat ditonjolkan dengan segera.
Beliau juga diberitakan menangis dalam perjumpaan tersebut dan meminta supaya para ulama itu membantu untuk umat Islam kembali kepada Al-Quran.
Tidak ada apa-apa yang salah, walau sezarah pun, atas permintaan yang sungguh mulia dan suci ini.
Akan tetapi, Dr Mahathir boleh berhati-hati meminta dan menagih, kerana agamawan yang dirayu dan dipujuk dengan tangis esak itu terdiri daripada pelbagai jenis agamawan yang pernah menunjukkan pebagai belang.
Tidak ada apa-apa yang cuai, walau sekuman pun, atas permintaan yang sungguh wajar dan sajak ini.
Akan tetapi, Dr Mahathir boleh, bahkan mesti berhati-hati merintih dan menangis; kerana agamawan yang dipanggil dan dipinta dengan tangis sedu itu membawa dan mempercayai pelbagai jenis tafsiran untuk Al-Quran yang satu.
Usaha untuk merayu agar umat Islam kembali kepada Al-Quran adalah satu usaha yang paling getir dan panjang – bahkan paling payah – untuk dilakukan. Lihat sahaja bagaimana Muawiyah yang mendirikan sebuah dinasti monarki yang kejam dan bertanggungjawab kepada permulaannya penindasan untuk keluarga Rasulullah s.a.w., yakni, mereka yang paling patut dirujuk tentang Al-Quran.
Mereka, keluarga Rasulullah seperti Saidina Hussein, adalah agamawan pada waktu itu yang paling mengerti Al-Quran. Adakah mereka dirujuk? Tidak. Malah mereka dibunuh dan dicincang di Karbala.
Saya akan dituduh Syiah, seperti biasa, apabila membangkitkan perkara di atas. Bosan. Saya ingin meminta Dr Mahathir merujuk kepada tafsiran kaum teroris terhadap Al-Quran. Mereka, para teroris, juga ingin kembali kepada Al-Quran.
Namun, Al-Quran serupa apa? Al-Quran yang mereka sendiri percaya. Dan tafsiran itu sama sekali berbeza dari tafsiran yang Dr Mahathir imani, iaitu Islam itu hadir untuk berbelas kasih dan menyebar cinta apatah lagi persaudaraan.
Dr Mahathir perlu mengingat, bukan sahaja Al-Quran diberi aneka tafsir, sepotong ayat itu sahaja sudah membawa bermacam-macam pengertian yang boleh dieksploitasi.
Ambil sahaja “as-sirat al-mustaqim”, atau “jalan yang lurus”. Ayat ini diulang setiap kali umat Islam menunaikan sembahyang. Apakah tafsir “as-sirat al-mustaqim” hari ini?
Untuk Imam Samudera dan kawan-kawannya yang mengebom Kelab Sari Padi di Bali dan membunuh sekian ramai orang bukan Islam yang tidak bersalah, as-sirat al-mustaqim itu memberi tafsir yang menurut mereka satu pembahagian antara Dar al-Islam (“Negara Islam” — umat Islam, negeri Islam) dan Dar al-Harb (“Negara Bukan Islam” – umat selain Islam, negeri “kafir”).
Apabila gerakan Islam bernama Ikhwanul Muslimin diperanakkan di Mesir kemudian melanda dunia Islam dan menjadi salah satu fenomena kebangkitan Islam sejagat, mereka menyerukan kembali re-Islamisasi iaitu kembali kepada Al-Quran. Maksud kembali kepada Al-Quran dalam hal ini, as-sirat al-mustaqim, adalah tidak lain tidak bukan, kembali kepada syariah (undang-undang Islam).
Dalam tahun-tahun 1980an itu juga, pengalaman umat Islam di Afghanistan, Kashmir dan Palestin menyalakan semangat yang membawa sepotong ayat as-sirat al-mustaqim yang mana jihad menjadi fardu ain.
Tiba-tiba jihad menjadi satu rukun dalam agama. Ya, demi membantu saudara se-Islam kita yang ditindas dan dikorbankan oleh golongan kafir.
Oleh kerana ia menjadi tanggungjawab peribadi, jihad diserukan dan dengan segera mendidihkan darah ramai pemuda Islam (juga pemudi). Sepotong ayat as-sirat al-mustaqim itu mendapat tenaga dari kelompok Khawarij lampau, yang mana di tangan mereka, Saidina Ali, khalifah Islam ke-4, terkorban.
Berlakulah pembentukan neo-Khawarij dari situ dalam dekad-dekad seterusnya. Ia bermula dengan “jalan yang lurus”.
Tafsiran ‘hipster’ Darul Islam
Sepotong ayat, as-sirat al-mustaqim, yakni kembali kepada Al-Quran; seperti konon dirayu Dr Mahathir, pernah mendapat satu tafsiran baru. Tafsiran apa? Tafsiran ideologi Thanatophile yakni kematian adalah satu matlamat dan tidak semestinya satu perbuatan iblis.
Dalam tahun-tahun 1980an itu kita biasa mendengar retorik begini: “Allah Matlamat Kami, Rasul Ikutan Kami, Al-Quran Perlembagaan Kami, Jihad Jalan Juang Kami, Syahid Cita-Cita Tertinggi kami.”
Tiada beza seruan Dr Mahathir dalam pertemuan dengan agamawan dengan retorik di atas. Beliau memberi kaum ulama itu lesen besar “kembali kepada Al-Quran”. Ia adalah pucuk dicita ulam mendatang.
Tangis agar ulama membantu umat Islam adalah satu kegerunan yang menguatkan kembali tafsiran Dar al-Islam dan Dar al-Harb. Itulah tafsiran yang paling “hipster” dan “trending” dari dulu sehingga kini.
Tafsiran yang diberi wewenang kepada kaum agamawan dengan sangkaan mereka akan memberikan petunjuk kasih sayang dari kitab suci tersebut telah dalam dekad lalu berakhir dengan gejala takfir, menuduh seorang Muslim dengan kekufuran, justeru lesen untuk dia dibunuh yang mana merupakan satu hal yang salah dan terkeji dalam Islam.
Seruan kembali kepada Al-Quran yang mana seruan itu diberi tafsiran pelbagai seperti yang telah saya tunjukkan kepada tafsiran “as-sirat al-mustaqim” telah mendatangkan fitnah dalam masyarakat.
Padahal tafsir sepotong ayat as-sirat al-mustaqim itu bukan berbilang-bilang. Ia tunggal. “Jalan lurus” yang dimaksudkan dalam Al-Fatihah yang kita ulangi dalam sembahyang itu kembali kepada selawat yang dibaca juga dalam sembahyang; yakni kembali kepada keluarga Muhammad. Allah berselawat kepada Muhammad dan keluarganya.
Seruan dan tangis Dr Mahathir sepatutnya diunjuk dengan rintih agar ulama berhenti menyemak dan membalak atau agamawan berhenti mengawan dan menular wang. Mereka patut dirayu agar berusaha keras melakukan ijtihad. Bukan jihad yang melulu.
Satu-satunya seruan yang wajar untuk kaum ulama ialah agar mereka kembali kepada reformasi agama dengan melihat kembali ijtihad. Bahawa tafsiran ayat-ayat tentang jihad dalam Al-Quran tidak jatuh atas peribadi dan individu. Bahawa berkasih sayang itu wajib dan membunuh makhluk lain termasuk yang bukan Islam, dan yang difatwakan sesat oleh fatwa mereka itu sebetulnya haram. Bahawa pejuang berani mati itu bukan mendapatkan syahid tetapi kematian sia-sia.
Harapnya Dr Mahathir tidak menangis kepada kumpulan agamawan yang salah. Kembali kepada Al-Quran bermakna kembali kepada tafsiran Al-Quran yang aneka ragam, yang mana peluang dan kesempatan untuk kumpulan Wahhabi meneguhkan Islam yang selapis. Atau Islam yang kononnya merujuk salafussoleh, padahal saban detik berbuih mengkafirkan orang.
Al-Quran yang ditangisi dan diminta agar dirujuk segera untuk orang seperti Bin Laden berakhir dengan WTC New York yang dilanggar lari. Al-Quran yang ditangisi dan diminta agar dirujuk segera untuk orang seperti seketul dua mufti ialah menyesatkan orang lain: kelompok Ahmadi, Syiah dan “liberal” yang ditimpa hujan dan badai fatwa.
Satu-satunya tangis yang wajar datang daripada Dr Mahathir kepada kaum ulama dan agamawan ialah agar mereka kembali kepada Perlembagaan Malaysia dan Rukunegara. Beliau suka menggunakan “rule of law”. Kita gunakan istilah itu. Menangislah kerana dalam pengamalan Islam hari ini, “rule of law” sudah jadi masing-masing punya.
Kita perlukan Islam yang rahmah. Tafsiran Al-Quran yang ramah. Bukan tafsiran yang marah. Islam Nusantara. Kalau tidak mahu istilah itu, namakan ia apa sahaja; tetapi ia adalah Islam yang bukan sewenang-wenang ditafsir sehingga sepotong ayat menjadi dalil untuk membunuh atau menidakkan keislaman seorang Islam yang lain.
Dr Mahathir boleh, bahkan mesti berhati-hati merintih dan menangis.
*Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan