Selasa, 14 Ogos 2018

“TANGAN-TANGAN LANGIT” CUBA SEKAT ANWAR-



Selepas tular video yang mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin cuba menghalang kemaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid terus mencetuskan ketegangan apabila mendakwa wujud ‘tangan-tangan langit’ yang cuba campur tangan dalam parti itu.

Ahli Parlimen Kapar itu menyatakan kesediaannya untuk berdepan dengan sesiapa saja berhubung hal yang disifatkannya sebagai ‘tangan-tangan langit’ dan ia mesti disekat daripada mencampuri urusan PKR.

Beliau mendakwa gerakan itu digerakkan Daim yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan menerusi beberapa kenyataanya sebelum ini yang dilihat sebagai ‘campur tangan luar biasa’.

“Saya tak boleh benarkan orang luar campur tangan dalam masalah parti kami, maka untuk mengukuhkan kedudukan Anwar, saya mengangkat (menyokong) Rafizi (Ramli) kerana melihat pengorbanan dan komitmen beliau menjurus kepada agenda reformasi.

“PKR perlu didukung pemimpin seperti Rafizi tetapi apabila beberapa perkara yang membabitkan kenegaraan, Tun Daim campur tangan dan ini tak boleh berlaku.

“ ‘Tangan-tangan langit’ jangan cuba mengganggu pentadbiran negara kerana kita tidak boleh negara ke belakang dari segi pentadbiran, sebaliknya kita mahukan perubahan,” katanya di lobi Parlimen pada Isnin.

Abdullah Sani berkata, Daim secara terbuka pernah menyatakan Anwar perlu menunggu sehingga Mahathir menangani masalah ditinggalkan pentadbiran terdahulu, walaupun ada konsensus jawatan itu perlu diserah dalam tempoh dua tahun.

“Petikan kenyataannya (Daim) mewujudkan persepsi beliau cuba campur tangan dalam urusan peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar,” katanya.

“Ini memberikan saya gambaran bahawa campur tangan beliau itu sebenarnya memberi isyarat untuk melengah atau memperlekehkan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) yang bakal menjadi Perdana Menteri kelapan.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, ada dalang cuba menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri dan ini tidak boleh dikompromikan.

“Kalau memerlukan bukti, saya boleh buktikan,” katanya.


Tiada ulasan: