Selasa, 14 Ogos 2018

Percaturan politik sebalik membina semula negara


PH didokong pelbagai aliran yang berpakat untuk menjatuhkan Barisan Nasional tetapi bercanggah dalam perkara lain.
  
Selepas 100 hari berlalu, fasa seterusnya bagi kerajaan Pakatan Harapan boleh dilihat dari sudut 2 tempoh. Pertama, peringkat Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri iaitu apa yang sedang berlangsung sekarang, dan kedua, pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti mana termaktub dalam persetujuan Pakatan Harapan sebelum pilihan raya.

Negara menghadapi pelbagai cabaran yang menuntut kerja keras rakyat, baik yang berjawatan atau tidak. Ini kerana Malaysia Baharu yang dimpikan sebahagian besar rakyat menuntut pengisian bermakna.

Kerajaan Dr Mahathir berusaha melaksanakan semua perkara dalam Manifesto PH. Sebahagiannya sudah dilaksanakan. Sebahagiannya sedang dan akan dilaksanakan. Tidak kurang pula ada yang ditangguhkan dan tidak akan dilaksanakan.

Di sinilah pertembungan antara realiti dan harapan. Ada harapan yang boleh dijadikan realiti tetapi tidaklah semua. Lebih-lebih lagi terdapat pelbagai harapan yang ada kalanya bercanggah antara satu sama lain. Umpamanya PH didokong pelbagai aliran dalam masyarakat yang berpakat atas satu perkara, umpamanya menjatuhkan Barisan Nasional, tetapi bercanggah dalam perkara lain.

Di satu lapis, PH terdiri daripada 4 parti politik iaitu PPBM, PKR, DAP dan Amanah. Tetapi dalam setiap parti itu mempunyai pelbagai aliran, ada yang ketara dan tersembunyi. Ada pula aliran serupa tetapi pendekatan berbeza. Pertandingan dalam parti pasti menyerlahkan perbezaan ini. Penyokong Datuk Seri Azmin Ali sudah tentu mempunyai sudut pandangan berbeza daripada para peminat Rafizi Ramli.

Tetapi perbezaan yang nampak jelas sepanjang 100 hari pentadbiran kerajaan PH ialah dalam kalangan para pendokong, yang tidak semestinya ahli parti. Pemikiran mereka dapat dikesan melalui muatnaik dan komen yang disiarkan dalam media sosial. Walaupun tidak mewakili pandangan umum secara mutlak, warga internet boleh membayangkan sentimen penduduk.

Jadi apabila berlaku perubahan kerajaan pada 10 Mei lalu, maka boleh dibahagikan penduduk Malaysia ini pada 3. Pertama, penyokong PH, kedua, penyokong BN dan ketiga, tidak menyokong kedua-dua gabungan itu.

Walaupun bilangan penyokong PH adalah besar hingga membolehkan kerajaan dokongan mereka menang, tetapi bilangan penyokong BN masih banyak hinggakan suara mereka tidak boleh diketepikan begitu saja.

Dalam kalangan penyokong PH, apa yang dikehendaki juga berbagai. Ini dapat dilihat apabila timbul istilah Malaysia Baharu.

Ada kalangan yang gemar istilah Malaysia Baharu bagi menggambarkan kerajaan yang dipimpin oleh PH dan diketuai Dr Mahathir akan melaksanakan nilai-nilai politik liberal seperti yang diamalkan di Barat.

Pemikiran politik mereka lebih kurang seperti apa yang diperjuangkan oleh DAP dan sebahagian daripada kalangan PKR. Tetapi cara pemikiran ini pula tidak dapat diterima keseluruhannya oleh PPBM dan Amanah.

Asas Malaysia Baharu ialah kebebasan, keterbukaan dan kesaksamaan. Sememangnya konsep-konsep ini dilihat indah dan muluk-muluk tetapi ia bercanggah dengan realiti Malaysia.

Sepanjang 100 hari lalu, perdebatan mengenai perkara ini jelas terserlah. Sebahagian besar pendokong PH berpuas hati dengan asas kenegaraan yang ditegakkan oleh BN selama 61 tahun.

Mereka menolak BN kerana mahu menghapuskan kleptokrasi dan korupsi, serta didirikan urus tadbir yang bersih, cekap dan amanah.

Tetapi sebahagian pendokong kerajaan PH khususnya yang menggunakan istilah Malaysia Baharu mahu mengubah keadaan negara ini untuk menjadi lebih bebas, liberal, demokratik dan sekular. Bagi mereka, soal kaum dan agama sudah tidak menjadi perkara utama. Bagi mereka, apa salahnya kegiatan LGBT dibebaskan? Apa salahnya UEC diiktiraf? Apa salahnya diiktiraf sumbangan komunis kepada kemerdekaan negara?

Di sinilah realiti menghalang harapan pendokong liberal yang menyangka Malaysia Baharu bernilai kenegaraan demokratik yang serupa dengan Amerika Syarikat, Britain atau Australia.

Dalam suasana ini, ternyata Dr Mahathir berjaya mengemudi Malaysia dalam 100 hari selari dengan realiti sifat negara. Beliau perlu memimpin Kabinet bergerak seimbang dalam landskap masyarakat berbagai aliran yang bertentangan antara satu sama lain.

Berdepan rakyat, beliau sebagai ahli politik perlu mencari keseimbangan antara keyakinan peribadi dan kehendak yang pelbagai itu. Inilah seni politik yang kemahirannya dituntut dimiliki oleh ahli-ahli politik lebih-lebih lagi di negara beraneka fahaman seperti Malaysia.

Tetapi beliau bukan saja perlu menjadi ketua eksekutif yang baik tetapi juga menggunakan kebijaksanaan dalam percaturan kepartian dan hubungan anggota komponen PH.

Di penghujung 100 hari kerajaan PH ini, rakyat menyaksikan Anwar memulakan percaturan politiknya. PKR perlu melalui proses pemilihannya. Anwar sudah menang tanpa bertanding sebagai presiden. Beliau pula memantapkan kedudukannya dalam PKR melalui persaingan calon yang bertanding. Perkara ini jelas dilihat melalui pertandingan antara Azmin dan Rafizi.

Beliau juga mempersiapkan diri untuk masuk kerajaan. Kalau pun bukan kerajaan, beliau dijangkakan akan bertanding dalam pilihan raya kecil bagi membolehkannya berada dalam Parlimen. Ini semua persiapan untuk menggantikan Dr Mahathir apabila masanya tiba.

Anwar juga sudah berjumpa Dr Mahathir. Menurut beliau, perbincangan untuk memperkasakan peranan Parlimen berbanding dengan kerajaan.

Maka kalau pun Anwar tidak menyertai kerajaan, beliau boleh berperanan sebagai ahli Parlimen yang berpengaruh sementara menanti masa untuk menjadi perdana menteri.

PPBM juga tidak duduk diam. Apa yang terjadiberlaku penghijrahan dari akar umbi Umno kepada PPBM. Bukan itu saja, pengerusi PPBM turut pergi ke Sarawak untuk membuka cawangan baharu. Semua perkembangan ini usaha untuk menguatkan PPBM.

Tetapi ada satu lagi perkembangan yang menarik tetapi implikasinya tidak dapat dipastikan. Apakah percaturan di sebaliknya? Pada Ahad lalu, Mingguan Malaysia mewawancara Anwar dan beliau bercakap mengenai kebebasan media. Mingguan Malaysia merupakan akhbar Ahad bagi Utusan Malaysia milik Umno. Ditambah pula, Presiden Datuk Seri Zahid Hamidi mepunyai pengaruh utama terhadap akhbar milik partinya itu.

Begitu juga dengan apa yang diulas oleh akhbar itu terhadap Dr Mahathir dan Anwar sudah tentu mencerminkan langkah politik dalam percaturan yang lebih luas.

Pastinya para pemerhati politik akan meneliti semua gerak Anwar dan hubungannya dengan Dr Mahathir dan PH. Begitu juga, politik mereka tidak akan terpisah daripada pergolakan Umno.

Bagi rakyat biasa, mereka tentu tetap mengimpikan Malaysia Baharu yang makmur dan indah.

Walaupun pemahaman tentang Malaysia Baharu berbeza sesama mereka.

*Zin Mahmud merupakan bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

Tiada ulasan: