Jumaat, 3 Ogos 2018

‘Tak boleh buat yang berat, buat ringan dulu’

Oleh Siti Fatimah Ishak

Jika isu aurat pramugari pun sukar dilaksana, makin susahlah mahu laksana syariat Islam: PAS


BANGI – PAS melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan jawapan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke baru-baru ini berhubung pemakaian pramugari dan pramugara syarikat penerbangan.

Ketua Penerangannya, Ustaz Nasrudin Hasan berkata, isu pemakaian pramugari perlu difahami dengan jelas, kerana ianya bukan berkaitan keuntungan, tetapi soal menutup aurat dan tanggungjawab sebagai muslim.

“Tidak tutup aurat dan berpakaian seksi bukan faktor menambah keuntungan pada industri penerbangan negara. Apa yang pasti Allah murka. Kalau pun sukar untuk laksanakan Islam yang berat-berat, boleh mulakan dengan yang ringan-ringan dahulu.

“Jika yang ringan seperti menutup aurat pun tidak boleh dilaksana. Maka sukar lah bagi perlaksanaan syariat Islam yang sempurna di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Isu pakaian pramugari awalnya dibangkitkan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang mempersoalkan tentang etika pakaian pramugari yang kelihatan agak menjolok mata jika dibandingkan dengan pramugari yang berkhidmat di negara lain.

Sebaliknya, Anthony berkata, mereka yang merasakan seragam pramugari Malaysia terlalu menggoda supaya merendahkan pandangan.

Ahli Parlimen Seremban itu turut menyifatkan isu berkenaan sebagai perkara subjektif, kononnya pakaian pramugari dan pramugara di Malaysia semuanya mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

Katanya, pihak syarikat berhak untuk memilih jenis pakaian yang akan dikenakan oleh pekerja mereka.


Tiada ulasan: