Selasa, 21 Ogos 2018

Tak bijak mansuh tol sekarang, kata Daim

 
Ketua Majlis Penasihat Kerajaan itu percaya rakyat akan memahami keadaan kewangan negara ketika ini.





KUALA LUMPUR: Ketua Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin menasihatkan kerajaan tidak memansuhkan tol sekarang.

Bekas menteri kewangan itu berkata, langkah itu tidak sesuai dilaksanakan di peringkat ini.

“Dengan keadaan kewangan sekarang, ia tidak bijak untuk melakukannya di peringkat ini. Saya rasa rakyat juga memahaminya,” katanya pada sidang media mengenai mandat CEP dan cadangannya kepada kerajaan, di Menara Ilham hari ini.

Beliau berkata, ada beberapa cadangan berhubung penghapusan tol, tetapi ia tidak lengkap.

“Kami sudah menyerahkan cadangan kami.”

Pada 13 Ogos lalu, Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pemansuhan tol sehingga kewangan negara mengizinkan kerana ia perlu membayar pampasan lebih RM400 bilion.

Tetapi, beliau berjanji akan meneliti langkah lain untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Pada 28 Julai lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, cadangan menghapuskan kutipan tol tidak boleh dimuktamadkan dalam 100 hari pentadbiran PH kerana ia sangat rumit dan perlu mempertimbangkan kepentingan semua pihak.

KWSP memilliki 49% pegangan dalam pengendali lebuh raya bertol PLUS Malaysia Bhd, manakala unit Khazanah Nasional Bhd, UEM Group Bhd memiliki ekuiti selebihnya.

Shahril yang juga pengarah urusan Khazanah berkata, pelabur Malaysia perlu mempunyai keyakinan terhadap pasaran dan kerajaan yang menyedari hal ini, tidak mahu melakukan apa-apa yang boleh menjejaskannya.

Tiada ulasan: