Selasa, 21 Ogos 2018

Laporan: Giliran Pak Lah pula digugur sebagai penasihat Petronas

 
Dr Mahathir Mohamad memberitahu TMR, Abdullah Ahmad Badawi akan bersara sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula syarikat minyak dan gas itu.


Abdullah Ahmad Badawi dilantik sebagai penasihat Petronas pada April 2016, menggantikan Dr Mahathir Mohamad. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi diberikan notis penamatan sebagai penasihat Petronas sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula syarikat minyak dan gas itu, lapor The Malaysian Reserve (TMR).

Akhbar perniagaan itu memetik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai berkata Abdullah akan “bersara”.

“Dia (Abdullah) diberi notis bahawa tempohnya (sudah sampai) dalam proses penstrukturan semula. Dia akan digugurkan,” kata Dr Mahathir dalam temu bual dengan TMR.

Mahathir, yang juga penasihat Petronas sebelum perkhidmatan beliau ditamatkan oleh Kabinet pada Mac 2016, berkata tiada keperluan peranan penasihat di firma minyak negara itu kerana syarikat itu berjalan dengan baik.

“Dia akan bersara kerana kita tidak memerlukan penasihat lagi.

“Saya adalah penasihat untuk tempoh yang lama, sudah tentu apabila saya menjadi penasihat, saya tahu serba sedikit tentang perniagaan, jadi saya memberi nasihat.

“Tetapi penasihat kadang-kadang tidak memberi nasihat, jadi saya fikir kita membazirkan wang jika kita hanya membayar gaji kerana kita boleh memberikan wang itu kepada rakyat,” kata perdana menteri kepada TMR.

Abdullah dilantik menggantikan Dr Mahathir sebagai penasihat Petronas pada 1 April 2016.

Datuk Seri Najib Razak, yang juga perdana menteri pada masa itu, berkata perkhidmatan Dr Mahathir ditamatkan kerana beliau tidak menyokong kerajaan ketika itu.

Tiada ulasan: