THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merampas dokumen di beberapa pejabat dan rumah pegawai Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) untuk siasatan kes rasuah.
Menurut sumber, SPRM mengadakan serbuan serentak di beberapa lokasi di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Tambunan.
“Serbuan bermula pada 9.30 pagi semalam, disertai kira-kira 40 pegawai dan anggota untuk mengambil beberapa dokumen berkaitan JPS.
“Selain itu, kami turut merampas dokumen-dokumen daripada rumah seorang pegawai kanan JPS di Sandakan,” kata sumber berkenaan. Menurutnya antara dokumen yang diambil daripada rumah dan pejabat adalah dokumen jabatan perhutanan serta dokumen kewangan syarikat yang telah memperoleh projek daripada JPS.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.
Beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap beberapa pegawai kanan di jabatan berkenaan bagi melengkapkan siasatan itu.
“Kami menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan