Rabu, 22 Ogos 2018

Kehilangan alat radiografi tiada kaitan dengan keganasan: Polis

THE MALAYSIAN TIMES
 
Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu dan sedang bekerjasama dengan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA)  untuk mengesan projektor berkenaan serta menangkap mereka yang terlibat.

“Menurut LPTA, bahan radioaktif iaitu ‘Iridium (Ir-192) activity 50 curies’ yang terkandung dalam projektor itu berupaya membawa kesan sinaran kepada manusia tetapi bergantung kepada tahap dedahan dos yang diterima,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata jika dos yang diterima kurang atau bersamaan dengan 500 millisieverts (mSv), kesan awal ialah pening, loya serta muntah dan jika dos diterima melebihi 500 mSv, penerima akan mengalami kesan seakan kulit terbakar.

Menurut Mazlan seseorang itu akan menerima dedahan sekitar 500 mSv jika terdedah kepada aktiviti 50 curies selama kira-kira 120 minit pada jarak satu meter tanpa perisian.

“Saya meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai kejadian ini secara terus kepada pegawai penyiasat ASP Yong Meng Heng di talian 019-5753399 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Pada 10 Ogos lepas, alat berkenaan dilaporkan hilang ketika dibawa pulang oleh dua juruteknik sebuah syarikat dari Seremban ke Shah Alam antara  2 pagi dan 3 pagi.

Alat yang memancarkan radiasi Beta dan Gamma itu dikhuatiri disalah guna termasuk oleh pengganas bagi membuat bom.— Bernama


Tiada ulasan: