63 pemerhati pilihan raya dilantik pantau PRK Balakong
BANGI – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi
bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong pada
8 September ini antara 75 hingga 80 peratus.
Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu
Bakar berkata, pihaknya memohon semua pengundi layak agar keluar
mengundi dan menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Bagi tujuan penambahbaikan, SPR turut
menambah dua saluran khusus kepada pengundi berumur 60 tahun dan ke atas
selain menambah 29 saluran baharu bagi mengelak jumlah pengundi terlalu
ramai di satu-satu saluran, menjadikan 129 saluran berbanding 100
saluran pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media
selepas pengumuman calon PRK DUN Balakong di Dewan Demesne, Pejabat
Daerah dan Tanah Hulu Langat di sini, hari ini.
PRK DUN Balakong menyaksikan pertandingan
satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Wong Siew Ki dan
calon MCA Tan Chee Teong.
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas.
Sementara itu, katanya SPR telah melantik
63 pemerhati pilihan raya daripada tujuh organisasi kerajaan dan badan
bukan kerajaan, antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia, Persatuan OKU
Sentral dan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.
“Turut diingatkan tempoh berkempen adalah
selama 21 hari, sehingga 7 Sept, 11.59 malam dan tidak ada mana-mana
pihak yang merayu undi pada hari pengundian 8 September melalui apa-apa
platform termasuk media sosial.
“Sehubungan itu, SPR telah menubuhkan
pasukan penguat kuasa kempen PRK bagi memantau kempen selaras dengan
peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan
Raya 1954,” katanya.
Beliau berkata, pasukan penguat kuasa
boleh menurunkan bahan kempen yang berunsur negatif dan melanggar
peruntukan undang-undang pilihan raya.
“Permit Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga
perlu diperoleh bagi kesemua kempen yang akan diadakan dari hari ini
sehingga 7 September dan diharap ia (kempen) berlangsung dalam keadaan
harmoni,” katanya.
Pengundi yang layak turut disaran
menyemak pusat pengundian dan saluran mengundi terlebih dahulu bagi
mempercepatkan proses pengundian.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan