Oleh Athirah Huda Zalhe
Wujud arus tersusun menafikan Melayu sebagai penduduk asal negara
BANGI
– Orang Melayu diingatkan supaya tidak mengambil mudah terhadap ancaman
pihak tertentu yang cuba menggugat kedudukan istimewa dan identiti
negara walaupun dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketua
Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Muhammad Farid Hussein berkata,
beliau bimbang sikap ambil mudah itu akan memberi kesan buruk kepada
bangsa Melayu di negara ini, sebagaimana yang berlaku terhadap orang
Melayu di Singapura.
“Bahasa
Melayu adalah bahasa kebangsaan Singapura dan kaum Melayu di sana
dijamin kedudukan istimewanya dalam Perlembagaan mereka. Tetapi apa
sudah jadi dengan Melayu Singapura?
“Sedarlah
bahawa kita sekarang sedang diasak dengan hebat oleh pihak-pihak yang
ingin mencairkan identiti negara kita yang berteraskan Islam dan
Melayu,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Kempen Ini Negara
Perjuangan 2018, di ibu pejabat Isma di sini, hari ini.
Beliau
berkata, orang Melayu jangan mudah terpedaya dengan pihak yang kononnya
patriotik serta sayangkan negara, tetapi tidak menghormati Perlembagaan
yang bertunjangkan Islam, Melayu dan Raja, sebaliknya lebih berkiblatkan
kuasa asing dalam menentukan hala tuju Malaysia.
Muhammad
Farid berkata, beliau kesal terhadap rakyat di negara ini yang dilihat
sengaja melupakan sejarah kehebatan Tanah Melayu daripada Kesultanan
Kedah Tua dan Melaka sehinggalah perjuangan pahlawan terdahulu dalam
menentang penjajah.
Negara-negara
lain sangat berbangga dengan sejarah silam masing-masing, terutamanya
zaman kegemilangan mereka seperti Amerika Syarikat (AS) yang berbangga
dengan kemerdekaan mereka menentang British, Itali dengan tamadun
Romnya, Greece dengan tamadun Greek.
“Malangnya
di tanah air, sengaja dilupakan sejarah kehebatan Tanah Melayu daripada
Kesultanan Kedah Tua, Kesultanan Melaka sehinggalah kepada perjuangan
pahlawan dahulu melawan penjajah Portugis, Belanda, British, Jepun dan
komunis,” katanya.
Beliau
berkata, keadaan itu seolah-olah wujud arus yang tersusun untuk
menafikan kehebatan sesuatu bangsa penduduk asal negara ini yang tidak
berhenti berjuang mempertahankan kedaulatan Malaysia.
“Justeru,
Pemuda dengan penuh keinsafan dan rasa tanggungjawab telah melancarkan
kempen Ini Negara Perjuangan bagi memberikan fokus utama untuk
mempertahankan identiti negara yang berteraskan Islam, Melayu dan Raja
terutama dalam menghadapi ancama yang semakin bertambah.
“Semoga
semangat perjuangan pahlawan nenek moyang kita dahulu juga diwarisi oleh
kita demi kemaslahatan agama, bangsa dan generasi orang Melayu Islam
akan datang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan